TERKINI

Konflik Palestin-Israel Adalah Kekejaman Sistematik, kata Tun M

Mahathir Mohamad – foto Facebook TDM

KUALA LUMPUR, 10 Okt 2023 – Kebenaran konflik antara Palestin dan Israel adalah jenayah perang yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang dijalankan secara sistematik sejak tujuh dekad lalu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata, konflik terbaharu minggu ini adalah tindak balas rakyat Palestin terhadap kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

“Ini bukan tindakan sekali sahaja tetapi secara sistematik dijalankan tanpa henti sepanjang tujuh dekad lalu.

“Selama beberapa dekad, Israel telah melakukan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman yang tidak dapat difikirkan terhadap rakyat Palestin,” kata Mahathir, dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Malah, negarawan itu mendakwa, selagi mana kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat memihak kepada Israel, perjuangan mendapatkan keadilan dan penyelesaian konflik itu adalah tindakan sia-sia.

“Kuasa Barat dan AS adalah pihak yang terlibat dalam apartheid, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan selagi mereka menyokong rejim Israel yang kejam.

“Dengan itu, sebarang percubaan ke arah mencari penyelesaian yang adil dan saksama untuk rakyat Palestin menjadi satu usaha yang sia-sia,” kata Mahathir.

Rakyat Palestin kata Mahathir kemudian cuba membalas dendam secara berselerak, yang seterusnya disambut dengan kekuatan penuh IDF dengan senjata yang dibekalkan oleh kuasa besar khususnya AS.

“Episod ini tidak berbeza dengan tindakan balas dendam sebelum ini kecuali mungkin kali ini mereka lebih fokus dengan bantuan secara luaran.

“Tetapi kuasa Barat dan sekutu mereka meneruskan pembohongan, dengan naratif mereka kononnya permusuhan itu adalah tindakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas.

“Mereka mengabaikan hakikat ia adalah tindakan pembalasan oleh orang yang menuntut kebebasan dan hak ke atas tanah mereka telah diambil secara paksa,” kata Mahathir.

Manakala kuasa barat dan sekutu mereka memilih untuk meneruskan naratif menipu kononnya ia adalah serangan ke atas Israel oleh pengganas sedangjan kesalahan mereka jelas terhadap Hamas, Hizbullah dan Iran.

Dalam pada itu, katanya Israel boleh dijangka akan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan sewenang-wenangnya dan dengan tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp