TERKINI

Kontrak 5G: Maxis Celcom Digi jauh lebih besar dari U Mobile – Rafique

Rafique Rashid Ali – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 5 Nov 24 – Ketua Penerangan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid Ali mempersoalkan rasional pemberian kontrak membangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Rafique berkata persoalan timbul apabila melihat Maxis dan Celcom Digi yang punyai jauh lebih ramai pengguna berbanding U Mobile.

“Rakyat melihat Maxis dan Celcom Digi membina rangkaian sendiri di seluruh negara dan punyai jauh lebih ramai pengguna serta kekuatan dalam kutipan hasilnya dalam bidang telco.

“Mengapa U Mobile? itu persoalan yang sedang ditanya. Ujarnya.

Menurut Rafique lagi, persoalan yang sama juga akan bermain di kalangan pengurus-pengurus dana dalam dan luar negara berhubung kontrak ini.

“Malah CIMB Securities juga menyatakan keputusan SKMM adalah mengejutkan bukan sahaja kepada firma itu tetapi kepada pasaran keseluruhannya.

“Tidak dapat disangkal isu ini membawa pelbagai persoalan apatah lagi dahulunya kerajaan nekad untuk pastikan rangakain 5G ini menyeluruh dan terbaik. Maka ada logiknya bila pemain industri mempersoal lantikan ini. Difahamkan Maxis dan CelcomDigi akan berurusan dengan SKMM untuk beberapa persoalan. Ujar beliau.

SKMM baru-baru ini mengumumkan keputusan pemilihan U Mobile Sdn Bhd bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua di negara ini selepas melakukan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.

Berdasarkan rekod pemilikan U Mobile, syarikat asing, Straits Mobile Investments Pte. Ltd. Singapura memiliki 49 peratus saham dan merupakan pemegang terbesar. Ia diikuti oleh U Telemedia Sdn Bhd dengan 21.46 peratus.

Straits Mobile Investments Pte. Ltd. dimiliki oleh Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia) yang syarikat induknya adalah Temasik Holdings.

Dalam perkembangan berkaitan, Maxis Bhd berhasrat menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memahami rasional keputusan berkaitan pengendali rangkaian 5G kedua negara yang diumumkan baru-baru ini. -malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp