TERKINI

Kontrak U Mobile: Kerajaan memperkaya ‘Mahakaya’ asing – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Nov 24 – Ketua Komunikasi Ahli Parlimen PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa tindakan kerajaan dalam pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua membuktikan retorik memerangi mahakaya hanyalah propaganda populis sedangkan tindakan kerajaan dalam hal ini bukan saja memperkaya maha kaya, tetapi memperkaya maha kaya asing di Singapura.

Menjelaskan dakwaan tersebut, Wan Saiful berkata apabila U Mobile dilantik sebagai pengendali 5G kedua negara, nilai saham mereka sudah pasti melonjak berkali ganda, oleh itu “divestment” (pelepasan) yang akan dibuat oleh U Mobile untuk menurunkan pegangan asing ke 20 peratus akan membolehkan golongan mahakaya Singapura mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Hampir separuh saham U Mobile dipegang oleh pemilik berpusat di Singapura. Apabila U Mobile dilantik sebagai pengendali 5G kedua negara, nilai saham mereka sudah pasti melonjak berkali ganda.

“Maksudnya, “divestment” yang akan dibuat untuk menurunkan pegangan asing ke 20 peratus akan membolehkan golongan mahakaya Singapura mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana nilai saham yang mereka akan jual sudah pasti jauh lebih tinggi berbanding harga pelaburan asal mereka.

“U Mobile juga dijangka menjalankan IPO pada 2025. Nilai pegangan dan harga saham mereka pasti melambung kerana mereka memegang rangkaian 5G kedua Malaysia.

“Siapa yang untung?

“Bukankah ini bukti bahawa retorik memerangi mahakaya hanyalah propaganda populis sedangkan tindakan kerajaan dalam hal ini bukan saja memperkaya maha kaya, tetapi memperkaya maha kaya asing di Singapura? Jelas beliau.

SKMM baru-baru ini mengumumkan keputusan pemilihan U Mobile Sdn Bhd bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua di negara ini selepas melakukan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.

Berdasarkan rekod pemilikan U Mobile, syarikat asing, Straits Mobile Investments Pte. Ltd. Singapura memiliki 49 peratus saham dan merupakan pemegang terbesar. Ia diikuti oleh U Telemedia Sdn Bhd dengan 21.46 peratus.

Straits Mobile Investments Pte. Ltd. dimiliki oleh Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia) yang syarikat induknya adalah Temasik Holdings. -malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp