ALOR SETAR, 25 April 2023 – Masalah lambakan sayuran yang dilaporkan berlaku di Tanah Tinggi Lojing sehingga menjejaskan kira-kira 500 pekebun akan diteliti oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha melaksanakan langkah penyelesaian berkesan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut berperanan memberikan khidmat nasihat bagi memastikan bekalan sayuran stabil, sekali gus memanfaatkan pekebun tempatan.
“FAMA sekarang ini telah pun membeli sayuran pada harga yang lebih mahal daripada harga pasaran kerana mahu membantu pekebun, namun langkah tersebut tidak membantu dalam jangka masa panjang.
“Kementerian akan pastikan penyelarasan dibuat bagi seimbangkan bekalan sayuran tempatan dengan sayuran import,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kedah di sini malam tadi.
Mohamad mengulas laporan media tempatan baru-baru ini mengenai pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual, berikutan didakwa terdapat lambakan bekalan sayur import dari luar negara.
Laporan itu mendakwa masalah itu berlaku apabila pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk ke negara ini.
Mohamad berkata penanaman sayuran tertentu oleh banyak pekebun pada satu-satu musim mengikut harga pasaran juga menjadi antara faktor wujud lambakan itu.
“Kadangkala apabila misalnya (harga) timun mahal, banyak yang akan menanam timun, bila dapat hasil nanti, masa itu berlaku lambakan di pihak pekebun. Pihak FAMA ada juga membantu iaitu membeli dengan harga tinggi tetapi FAMA tidaklah dapat menampung semua,” katanya.
Beliau berkata pangkalan data juga sedang dikemas kini bagi membolehkan bantuan dan khidmat nasihat bersesuaian disalurkan kepada pekebun dalam usaha mengatasi masalah lambakan itu. – Bernama