TERKINI

PRK Kemaman: Pengundi buat aduan kesalahan pilihanraya oleh BN

Gambar hiasan – foto Sinar Harian

KEMAMAN, 24 Nov 2023 – Pas Terengganu menerima aduan daripada pengundi berkenaan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh jentera dan pemimpin UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kali ini.

Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, antara kesalahan yang didakwa dilakukan adalah pemimpin parti itu menyalahguna pangkat dan agensi kerajaan untuk berkempen supaya mengundi BN.

“Dalam kes pertama, tular satu video memaparkan seorang individu yang mewakili Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seolah-olah mengugut pelajar supaya mengundi calon BN agar peruntukan mudah disalurkan.

“Bagi kes kedua pula, kita dapati berlaku penyalahgunaan agensi Persekutuan menggunakan alasan pertemuan dengan pengerusinya tetapi berkempen dan memburukkan lawan politik.

“Kita juga dapati wujud unsur-unsur penjamuan di dalam majlis makan malam bersama pengerusi sebuah agensi Persekutuan, yang mana ia secara terang-terangan berkempen politik,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Pas di Chukai pada Khamis.

Tambah Satiful, tindakan melanggar peraturan pilihan raya ini secara tidak langsung mencemarkan nama calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Jelasnya, calon berkenaan sepatutnya menegur dan melarang tindakan melanggar peraturan yang dibuat oleh kem BN.

“Jika tidak, rakyat akan melihat calon ini hanyalah seorang tentera yang hilang wibawanya.

“Justeru, adalah diingatkan kepada pengundi untuk terus memantau insiden seumpama ini sekiranya berlaku di tempat masing-masing.

“Sila rakam video, gambar atau bukti-bukti lain dan segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Ujar beliau, Pas Terengganu juga sedang meneliti beberapa insiden salah laku melibatkan calon lawan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp