TERKINI

Krisis Kos Kesihatan Negara: Struktur Sistem Jadi Punca, Bukan Hospital Sesak — Dr Armin

KUALA LUMPUR, 7 Jan 2026 — Krisis kos kesihatan negara kini semakin kritikal dan berpunca daripada kegagalan struktur serta reka bentuk sistem pembiayaan kesihatan, bukan sekadar hospital sesak atau kenaikan caj rawatan swasta, kata Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin.

Beliau menjelaskan, walaupun peruntukan Belanjawan Persekutuan untuk kesihatan meningkat selepas pandemik, ruang fiskal sebenar untuk memperkukuh kapasiti sistem awam semakin sempit akibat struktur perbelanjaan yang tidak selari dengan tekanan kos sebenar sektor kesihatan.

“Krisis ini menunjukkan kegagalan sistem pembiayaan kesihatan mengawal harga, mengurus risiko nasional, dan menjamin kebolehcapaian rawatan secara universal. Majoriti rakyat kini sukar menanggung kos rawatan asas,” katanya.

Inflasi perubatan yang mencecah sekitar 15 peratus setahun bukan sekadar kenaikan kos operasi, tetapi disebabkan tiada kawalan tarif hospital swasta dan kepekatan pasaran di tangan beberapa kumpulan korporat besar. Hubungan tidak sihat dengan syarikat insurans pula membentuk kitaran inflasi berterusan.

“Premium insurans melonjak 40 hingga 70 peratus dalam tempoh singkat, menjadikan polisi insurans yang dimiliki rakyat hampir tidak boleh digunakan. Kolam risiko nasional kini mengecil dan hospital mula dikeluarkan daripada panel insurans,” katanya.

Beliau menambah, kesesakan hospital awam diperburuk oleh penghijrahan pakar perubatan ke luar negara dan sektor swasta, memaksa hospital menaikkan pakej gaji pakar dan memindahkan kos kepada pesakit.

Dr Armin turut mengkritik hospital korporat tersenarai yang mengutamakan keuntungan sehingga rawatan menjadi produk kewangan, manakala harga peranti dan ubat import melonjak, menambah beban kos ICU, pembedahan, dan rawatan onkologi.

Beliau menegaskan, hospital swasta tidak diwajibkan menyumbang kepada tanggungjawab sosial kesihatan, menyebabkan keseluruhan beban ditanggung hospital awam dan kerajaan, manakala insurans komersial mengurangkan perlindungan kelas menengah.

Untuk menangani masalah ini, beliau mencadangkan penubuhan National Health Insurance Trust bagi mengawal tarif, mengurus kolam risiko nasional, menjamin premium mampu dibayar, dan memastikan liputan kesihatan asas menyeluruh. Model ini telah terbukti berjaya di Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun.

“Tanpa reformasi menyeluruh, Malaysia bakal menghadapi muflis perubatan, penurunan produktiviti, hakisan kelas menengah dan ketidakstabilan sosial. Kesihatan adalah hak asas rakyat dan infrastruktur ekonomi negara, bukan komoditi elit,” tegasnya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp