TERKINI

PM digesa henti naratif kembalikan pilihan raya PBT – PAS

Takiyuddin Hassan – foto Harian Metro

KUALA LUMPUR, 19 Dis 2023 – Parti PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal dan menghentikan naratif untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang dicadangkan beberapa pihak dari parti kerajaan.

Ini kerana, kata Pas, pemansuhan pilihan raya PBT antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, DAP menguasai hampir keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur sekali gus berisiko menzahirkan citra politik etnik tinggal daripada segi perwakilan yang akan dipilih kelak.

“Sehubungan itu, Pas memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air, terutamanya yang melibatkan pemimpin veteran DAP kerana mendapati ia sangat tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

“Selain itu, hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Pada Ahad, syor diadakan pilihan raya PBT mendapat perhatian semula apabila DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan semulanya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras dikemukakan pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp