TERKINI

Kritikan terbuka: Hassan Karim sedia dipecat

Hassan Abdul Karim (kanan) – malayadaily.com

SHAH ALAM, 4 Feb 2024 – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bersedia dan terbuka sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin mengambil tindakan disiplin termasuk memecat dirinya susulan kelantangan beliau bersuara dalam pelbagai isu ketika ini.

Menurut Hassan yang juga wakil rakyat PKR, beliau tidak sesekali gentar dalam mempertahankan hak bersuara mengenai pelbagai perkara termasuk menyentuh perihal parti sekutu Kerajaan Perpaduan.

Beliau dalam masa sama beranggapan tindakan Ketua Penerangan PKR yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegur anggota parti lantang bersuara juga wajar.

“Saya telah menjadi anggota parti (PKR) secara rasmi 46 tahun yang lalu pada tahun 1978 sebagai anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sepanjang tempoh lebih empat dekad itu, inilah kali pertama saya ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik. Saya tidak berkecil hati.

“Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran Yang Berhormat Menteri Fahmi Fadzil selaku Jurucakap Kerajaan dan Ketua Penerangan Parti Keadilan.

“Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan ingin memulakan prosiding disiplin ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini,” katanya menerusi hantaran di Fecebook pada Sabtu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi pada Sabtu menasihatkan Hassan supaya tidak ‘menjaga tepi kain’ parti lain.

Sebaliknya Fahmi meminta Hassan supaya menghormati rakan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Hassan pada Rabu menyatakan UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan PRU16.

Menurutnya, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk mendapatkan undi Melayu. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp