TERKINI

Kepci Muzik Festival : Penganjur perlu peka, sensitif – Menteri

Konsert Kepci Muzik Festival – Foto facebook PU Syed

PUTRAJAYA, 30 Ogos 2023 – Mana-mana penganjur yang mahu menganjurkan acara hiburan dinasihatkan untuk lebih peka dan sensitif dalam pelbagai aspek termasuk elemen agama bagi mengelakkan kewujudan isu-isu negatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks ini, penganjur perlu mematuhi garis panduan ditetapkan kerana sensitiviti masyarakat dapat dijaga.

“Saya mahu tekankan di sini, penganjuran festival itu (Kepci Muzik Festival) bukan dibuat oleh kerajaan, acara itu anjuran pihak swasta. Saya difahamkan, pelajar tahfiz itu dijemput oleh pihak ketiga.

“Jadi, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yussof akan cuba berbincang dan memberikan nasihat kepada penganjur,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pengguna media sosial meluahkan rasa kesal apabila melihat rakaman video tular persembahan kumpulan wanita di hadapan pelajar tahfiz dalam sebuah konsert di Shah Alam, baru-baru ini.

Keadaan itu berikutan persembahan itu disifatkan sebagai agak keterlaluan dari segi tarian dan pakaian untuk dipertontonkan kepada pelajar-pelajar tersebut. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp