TERKINI

Kedah Dan Pulau Pinang

Sejarah tidak boleh dibungkus dan dibungkamkan: Ia wajar dimerdekakan

Gambar hiasan – Persatuan Melayu Pulau Pinang

Saya bukan ahli sejarah. Dan saya tidak terlibat dalam masalah politik antara Kedah dan Pulau Pinang. Tujuan saya adalah meluruskan sejarah, dengan merungkai peristiwa yang telah berlaku.

Pihak sejarawan di Malaysia mesti berani bersemuka. Walaupun kita tahu bahwa sejarawan pun tidak bersatu dalam pelbagai isu dalam sejarah negara, namun saya harap mereka muncul bagi menjelaskan secara prinsip mengenai mana-mana kegawatan dan kekaburan.

Seringkali timbul, sejak berdasawarsa lamanya, rasa tidak puas hati berkaitan masa lalu Kedah/Pulau Pinang.

Kini kita merasai arus gelombang yang pelbagai – sealiran dan bertentangan. Satu contoh kesedaran sejarah yang tinggi di kalangan warga negara. Ini satu perkembangan yang sihat.

Kita wajar diberi ruang dan peluang berhujah masa lalu untuk bergerak ke depan. Bukan nostalgia. Bukan dendam. Tetapi memberi dignity kepada masa lalu.

Kebelakangan ini, dalam beberapa temubual dengan media, saya ada cadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan. Salah satu fungsinya ialah bagi memutuskan dan meluruskan cerita sejarah kebangsaan.

Malaysia tidak ada sejarah formal. Yang ada adalah buku teks sejarah. Yang ada ialah pelbagai cabaran dan desakan dari pelbagai pihak warganegara untuk mengasaskan sejarah dari perspektif mereka sendiri.

Saya dan ramai lagi ingin tahu. Kebisuan masyarakat sejarawan hanya memperlihatkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab. Namun, ada juga yang terus bersuara dengan memartabatkan penjajah dan penjajahan.

Saya menceburi sejarah Pulau Pinang/Kedah, serta juga mendekati idea sejarah dan persejarahan melalui sosiologi dan ilmu Penjajahan (Kolonialisme). Salah satu hasil penjajahan ialah ilmu kolonial.

Iniah yang saya perhatikan sebagai bermasalah dalam kita memahami sejarah Pulau Pinang/Kedah. Dan ditambah pula selama ini, berpuluh tahun lamanya, sejarah (Melayu) Pulau Pinang telah dibungkus rapi, seperti bungkusan nasi lemak; atau bungkusan buku yang dibawa dari kilang percetakan ke gudang jualan tetapi tidak dibuka bungkusan itu setelah bertahun-tahun.

Inilah yang berlaku kepada sebuah syarikat suratkhabar yang juga berfungsi sebagai penerbit buku yang kini telah menjadi sejarah. Elemen Melayu dan Kemelayuan dibungkus, tersorok dalam gagasan dan ruang masa.

Akibat dari keadaan tersebut, elemen Melayu dan KeMelayuan Francis Light pun tidak disentuh. Light adalah penghuni kepulauan dan alam Melayu selama lebih kurang 29 tahun, dari tahun 1765 semasa menubuhkan pengkalan di Thalang/Salang/Jung/Junk Celyon di Siam dan kin Phuket di Thailand.

Masa itu umurnya 25 tahun, tidak kembali lagi ke England. Ini bermaksud beliau mengalami transformasi budayanya sendiri.
‘DNA’ sosial dan budayanya lebih Melayu, beliau bertutur dalam bahasa Melayu, amat dalam amalan tradisi dan adat, serta berpakaian kain pelikat dan baju Melayu, dan mungkin juga menjalin perhubungan dengan Wanita Melayu.

Dan semua lima anaknya dilahirkan di Kuala Kedah, dalam persekitaran dan suasana pelabuhan dan bandar, serta masyarakat Melayu.

Namun ini diselidungi dalam naratif sejarah arus perdana Pulau Pinang bertujuan menafikan ‘bayangan’ Melayu dalam cerita seorang yang diraikan sebagai pengasas (founder/discoverer) petempatan penjajah Pulau Pinang. Bertahun-tahun dahulu diungkapkan sebagai “The founder of Penang.”

Dan selama ini kita menerima ungkapan tersebut tanpa soal. Hanya dalam masa 20 tahun kebelakangan ini apabila muncul beberapa penulisan dari sejarawan dan sarjana dari Universiti Sains Malaysia (Minden/Bukit Tok Jenaton), naratif keunggulan Light sebagai pengasas tidak disorak seperti dahulu.

Dampak naratif alternatif dengan menolak ideologi penjajah telah sedikit sebanyak kelihatan, seperti tindakan membuka bungkusan buku yang baharu dicetak dari kilang.

R. Bonney telah mengupas perspektif dan wacana yang mempersoalkan cerita penjajah lebih 50 tahun lalu. Kita terkebelakang.
Kita hanya sedang mula membuka lipatan-lipatan bungkusan menyelak kerapian balutan pada buku tersebut; lalu membolehkan kita mengintai cebisan-cebisan kulit buku dan sebahagian dari rupa buku-buku yang kita idamkan. Wajah karya itu belum lagi kelihatan dengan sempurna.

Semasa saya di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (Cenpris), Universiti Sains Malaysia antara tahun 2016 hingga 2019, saya mengambil langkah memperkenalkan dan mengupas buku Bonney kepada khakayak awam, yang saya kira amat wajar dirungkai.

Perlu diingatkan bahawa dalam hal ini saya menumpukan kepada tahun 1786, dan bukan perjanjian-perjanjian selepas itu, seperti 1791.

Ramai yang salah faham maksud saya apabila saya sebut tidak ada pajakan, dan perjanjian dan tidak ada dokumen yang menunjukan tersebut. Yang ada adalah surat-surat perbincangan antara Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Francis Light.

Juga terdapat surat antara Sultan Zainal Adhilin Muhammad Jiwa Shah II dengan Fancis Light sebelum itu yang membangkitkan kegunaan Tanjong Penaga oleh Inggeris.

Namun ada sumber lain yang menggunakan ungkapan ‘indefinite letter’(surat yang kabur/Winstedt) dan ‘preliminary agreement’ (perjanjian awal/Turnbull) untuk mengabsahkan satu ‘perjanjian’ bagi kedudukan Inggeris di Pulau Pinang.

Mereka mendakwa wujudnya dokumen yang disebut itu sebagai satu fakta. Ini telah menimbulkan satu masalah. Kepada saya, itu adalah satu tafsiran.

Memang wujud surat-surat perbincangan. Dan kewujudan surat-surat itu yang dapat disahkan secara empiris adalah fakta. Akan tetapi, perkara yang ditafsirkan sebagai fakta itu dapat dipertikaikan.

Ini adalah kerana ia ditafsirkan sebagai satu persetujuan dan perjanjian antara Sultan dan Inggeris. Walhal dari satu segi ia bukan persetujuan dan perjanjian kerana Sultan tidak setuju dengan dua peruntukan dalam surat perbincangan itu.

Ia seperti satu hasrat untuk bersetuju melalui satu dokumen yang ditanggani bersama. Kalau tidak ada dokumen yang ditandatangani, ia hanya tinggat impian.

Sama seperti niat nak pinjam sejumlah wang dari bank. Tanpa surat perjanjian, wang yang diniatkan itu tidak akan dikeluarkan, walaupun ia diniatkan oleh pegawai bank. Niat akan hanya tinggal niat.

Ini adalah satu kes pertembungan fakta dengan tafsiran – juga ‘memfiksyenkan’ tahun 1786 – dari segi istilah yang digunakan ‘indefinite letter’ dan ‘preliminary agreement.’

Ini boleh menjurus kepada kefahaman kepada satu fakta sejarah. Walhal kewujudan ‘fakta’ tersebut berdasarkan kepada surat-surat. Dan apa yang kita sebut sebagai fakta itu juga satu kategori yang dicipta pada zaman awal moden di Eropah abad ke 16.

Selama ini naratif identiti Melayu Pulau Pinang tidak menyerlah. Ia tidak ditonjolkan. Ia dibungkamkan. Ini bukan soal fakta; tetapi soal tafsiran dan penonjolan. Dan anggaplah apa yang sedang berlaku kini sebagai satu perdebatan yang sihat mengenai sejarah negara.

Penulis merupakan Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican

Rencana ini telah diterbitkan dalam Prosa Terpinggir. Dewan Masyarakat. 8/2023.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp