TERKINI

Tarik Sokongan Politik Guna Ayat Suci Quran, Ahli Parlimen DAP Disiasat

Howard Lee – foto Media Variasi

PETALING JAYA, 23 Sept 2023 – Polis menyiasat Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee berhubung video TikTok yang didakwa menggunakan ayat al-Quran untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan perpaduan.

Ketua Polis Perak, Yusri Hassan Basri, berkata laporan dibuat terhadap ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP itu, sambil menambah kes berkenaan diserahkan kepada Bukit Aman.

“Kami telah merujuk kes ini ke Bukit Aman untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada FMT.

Siasatan dilaporkan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat), sebuah NGO tempatan, membuat laporan polis terhadap Lee kerana didakwa menghina agama Islam.

Presiden Jabat Perak, Amiruddin Daud, berkata tafsiran mana-mana ayat al-Quran hanya perlu dibuat oleh pakar dalam bidang itu, bukan orang bukan Islam.

Video itu dipercayai telah dipadam. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp