TERKINI

Kenal Pasti Dan Fahami Bangsa Sendiri

Bahagian Akhir

Mansor Mohd Noor – malayadaily.com

Kedinamikan Bangsa Malaysia

Realiti sosial menunjukkan kemajuan, pembangunan, migrasi dan perubahan teknologi dari pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dengan pertumbuhan dengan pengagihan membawa perubahan serta transformasi sosial yang telah membawa gelombang pembinaan semula dan merekayasa bangsadengan wacana komuniti khayalan dan bangsa idaman pasti berlaku.

Kajian kontemporari menunjukkan, sejarah dan warisan budaya kumpulan kewatanan asal akan terus kekal dan menjadi pasak pembinaan bangsa, walaupun menyulam ruang sivik dan penerimaan kepelbagaian serta aneka kepelbagaian yang semakin berkembang dalam negara itu.

Malahan percubaan merubah naratif bangsa ke multikulturalisme ditolak dari Perlis hingga ke Sabah hingga jelas dalam Pilihan Raya Negeri terbaru menunjukkan orang Melayu menolak parti DAP dan juga mana-mana parti Melayu yang berkerjasama dalam Pakatan Harapan.

Tolak Politik Multikulturalisme

Walaupun kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang bahasa, budaya dan agama hidup harmoni dan damai, kepimpinan politik dan NGO perlu menggali lapisan sejarah dan warisan kebangsaan negara ini jika mahu mengelak perpecahan dan konflik berlaku dengan pendekatan politik multikulturalisme dalam perjuangan politik mereka.

Percubaan politik multikulturalisme dengan isu-isu ICERD, Status Rum, mendesak pentiktirafan UEC sebagai sijil kemasukan ke IPTA, keterbatasan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan dan swasta, penjualan anak-anak Syarikat GLC, dipinggirkan pembangunan pertanian dan luar bandar, di antaranya, telah menyedar orang Melayu di mana naratif bangsa di negara ini telah dicabar.

Sedunia Menolak Ideologi Multikulturalisme

Ideologi naratif bangsa multikulturalisme sudah ditolak di Australia, Unitek Kingdom, Perancis, German dan lain-lain. Politik multikulturalisme membina semangat ikatan perkauman dan keagamaan yang akhir menebal batas kumpulan kaum dan agama hingga terbina semangat kepelbagaian nasionalisme hingga memisahkan kaum pendatang dari kumpulan kewatanan asal dan pentakrif bangsa di negara itu.

Governan kepelbagaian

Governan kepelbagaian bahasa, budaya dan agama sudah lama berjalan di negara barat, maju dan di negara ASEAN. Negara-negara ini mengambil pendekatan menerima kepelbagaian tetapi dalam kerangka pembinaan bangsa asimilasi, di mana pasak dan pentarif bangsa kewatanan, diperakui dan dijadikan dasar awam dalam kesemua bidang di negara itu.

Malaysia, hanya sesebuah negara yang menolak asimilasi tetapi membina bangsa integrasi di mana setiap ciri-ciri dan sejarah kumpulan kaum diperkaui tetapi disulam di bawah payung sistem politik kesultanan dan bangsa kewatanan Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kearifan Tempatan dan Kewatanan

Ilmu kearifan tempatan dan kewatanan perlu diangkat dalam memahami bangsa Malaysia bukan mengangkat perbahasan ilmu kolonial sebagai pentakrif bangsa di Malaysia ini. Penjajahan British memasuki ke negara ini di bawah payung sistem sosio-budaya politik kesultan Melayu dan kemerdekaan negara ini pun melalui tangan kesultanan Melayu juga.

Demi keharmonian dan kedamaian, setiap rakyat perlu mengenal pasti dan memahami negara bangsa mereka sendiri dari berhujah dengan kebebasan tidak bertepi.

Kita perlu mewacanakan bangsa Malaysia yang bertunjangkan lapisan sejarah dan warisan kebudayaan kewatanan dalam masyarakat kepelbagaian bukan melihat perbahasan politik berdasarkan ciri dan perbezaan kaum, bahasa, budaya, agama dan raja.

Rakyat dalam masyarakat kepelbagaian Malaysia adalah satu kesatuan keterikatan kolektif bangsa sepunya.  Utamakan cogan kata perpaduan, kesatupaduan, kesepaduan dan integrasi dalam kehidupan kita untuk membina bangsa Malaysia dan bukan ultra-perkauman dan keagamaan.

Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA)-UKM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp