TERKINI

Dasar UiTM: Ibrahim Ali berbeza pandangan dengan Ibrahim Abu Shah

PUTRAJAYA, 21 Mei 24 – Dato Paduka Dr Ibrahim Ali berbeza pendapat dengan bekas pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah yang menyokong gesaan pelajar bukan Bumiputera menyambung pengajian ke peringkat pakar dalam pembedahan kardiotoraks di institusi itu.

Dalam satu kenyataan media, Ibrahim Ali berkata, pandangan Ibrahim Shah adalah pandangan peribadi beliau yang tidak mewakili pandangan kumpulan orang-orang Melayu yang mahu mempertahankan institusi Melayu tersebut.

“Saya dah maklumkan pandangan saya kepada Tan Sri menerusi whatsapp sebentar tadi.

“Saya sedikit terkilan dengan kenyataan beliau dan saya berbeza pendapat pandangan beliau.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ibrahim Shah Abu Shah berpendirian bahawa ketika ini UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), justeru UiTM tidak boleh membiarkan pelajar berkenaan terkontang-kanting.

“Ini adalah demi kepentingan negara yang kekurangan doktor pakar dalam bidang ini (kardiotoraks).

“Kerana itu UiTM sewajarnya menerima mereka secara sementara menunggu UM (Universiti Malaya) membuka program latihan ini,” katanya memetik laporan malaysiakini.

Mengulas perkara yang sama, Ibrahim Ali berkata, tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang dianggap bersikap terbuka kepada semua bangsa, juga menolak cadangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

“Orang macam Ku Li pun, yang memang kehidupan dia menghormati semua kaum, macam Tun M juga, tapi ada benda-benda yang dia pertahankan dari segi kepentingan Melayu, dari segi sifat nasionalismenya yang tulen.

“Ku Li macam Tun M juga, dia bukan anti Cina atau anti sesiapa tetapi dalam menentukan dasar, dia mempertahankan dasar.

“Dulu UiTM ditubuhkan untuk tujuan itu, kekallah. Kita nak usik buat apa? Tegas Ibrahim Ali.

Semalam, media melaporkan Ku Li tidak bersetuju dengan cadangan membuka pernyertaan bukan bumi ke UiTM. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp