TERKINI

Najib, Anak Fail Rayuan Mahu Elak Bayar Cukai RM 1.7 bilion – Ketua Peguam Cara Hasil

Najib Razak, Nazifuddin – foto portal berita RTM

PUTRAJAYA, 15 Jun 2023 – Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Rabu bahawa tindakan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin merayu terhadap penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan lebih daripada RM1.7 bilion tunggakan cukai, adalah bagi mengelak daripada membayar cukai itu.

Ketua Peguam Cara Hasil Dr Hazlina Hussain, yang mewakili LHDN berkata lazimnya, skim percukaian setiap pentadbiran cukai di dalam dunia meminta pembayar cukai membayar cukai yang perlu dijelaskan tanpa mengambil kira sebarang rayuan.

“Jika rayuan ini dibenarkan mahkamah, kepentingan umum akan menjadi prejudis secara keseluruhan dan rayuan ini difailkan oleh pemohon untuk mengelakkan cukai yang perlu dijelaskan dan dibayar terlebih dahulu,” katanya pada pendengaran rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin terhadap penghakiman terus kepada mereka di hadapan panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Lain-lain hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Beliau berkata skim percukaian yang memerlukan pembayar cukai menjelaskan cukai dahulu tidak melakukan prejudis atau mendiskriminasi terhadap pembayar cukai kerana pembayar cukai yang terkilan terhadap penilaian Ketua Pengarah LHDN boleh merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayar cukai perlu menjelaskan jumlah yang ditetapkan dahulu tanpa mengambil kira sebarang rayuan. Rasional di sebalik prinsip ini ialah untuk melayani pembayar cukai dengan saksama, sama ada antara pembayar cukai yang patuh serta yang ingkar dan paling penting sekali ialah melindungi perbendaharaan kerajaan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri dan anak lelakinya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus kepada tunggakan cukai pendapatan.

Satu penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes menerusi hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing membenarkan permohonan LHDN untuk memperoleh penghakiman terus bagi mendapatkan tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin dari 2011 hingga 2017.

Kedua-dua Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu. Pada 10 Mei tahun lepas Mahkamah Persekutuan membenarkan mereka untuk merayu di mahkamah tertinggi negara. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp