TERKINI

Pertahan Islam Walau Terpaksa Gigit Dengan Gigi Geraham, kata Sanusi

Sanusi Md Nor – foto youtube

KUALA LUMPUR. 28 Ogos 2023 – Umat Islam di Kedah perlu mempertahankan ajaran Islam walaupun berhadapan ujian dan dugaan yang besar daripada anasir yang cuba menggugatnya walaupun sukar, kata Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Md Nor.

Sanusi berkata, jati diri disamping daya tahan diri yang tinggi perlu untuk memastikan umat Islam di negeri itu berupaya mengekang usaha merosakkannya dalam zaman yang penuh pancaroba ini.

“Saya yakin akan bangkitkan semangat sebagai umat progresif berdaya saing dan amalkan syariat Allah yang paling penting dalam zaman penuh pancaroba ini umat Islam perlu punya daya tahan jati diri untuk terus bergayut pada ajaran Nabi Muhammad hinggalah ke peringkat jika terpaksa gigit ajaran dengan gigi geraham ini kita akan lakukan bersama-sama.

“Sekarang memang banyak cubaan dan usaha untuk melondehkan sedikit demi sedikit ajaran Islam dengan tuduhan terangkum dalam Islamophobia menakutkan orang dengan Islam,” kata Sanusi.

Malah, ia juga katanya meresapi masyarakat yang menetap di kota hinggakan mereka merasakan Islam tidak mampu membawa kemajuan.

“Sebahagian besar masyarakat kota raya terpengaruh apabila Islam diamalkan maka kehebatan kemajuan dunia akan hilang, ini ajaran songsang bertujuan menjauhkan kehidupan umat manusia daripada ajaran Islam,” katanya, dalam program Majlis Cinta Rasul di negeri itu, baru-baru ini.

Hanya dengan cara itu, Kedah yang merupakan antara kerajaan tertua di dunia dapat mengekalkan jati dirinya.

“Sebab itu saya kata kena ada jati diri, ketahanan diri, kesanggupan menggigit ajaran ini dengan gigi geraham kita dan takkan lepaskan ajaran yang memuliakan kita dan nenek moyang ribuan tahun lamanya,” katanya.

Beliau juga turut memetik fakta sejarah berhubung Kedah sebagai pusat pemprosesan besi utama dunia suatu ketika dahulu.

Sejak 700 tahun sebelum masihi katanya, Kedah dikatakan menjadi pembekal utama besi dunia melalui penciptaan pelbagai jenis senjata tajam.

Kehebatan industri besi di Kedah hingga 1,700 masihi, dan industri besi wujud di Kedah sehingga 2,400 tahun lamanya.

Kesan daripadanya banyak ditemui di seluruh negeri termasuk penemuan dua juta relau pelebur besi dan tuyer, yang boleh ditemui di Tasik Pedu, Sik, dan paling banyak di sekitar Gunung Jerai, di sekitar kawasan Sungai Batu.

“Ada bandar di Perancis dikenali bandar tuyere (peniup angin-alat melebur besi) kerana ada dua batang, kita ada dua juta,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp