KUALA LUMPUR, 13 Julai 2023 – Kerajaan dan sektor swasta harus berganding bahu untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini ditangani dengan betul dengan mewujudkan dana berpusat yang diurus dengan baik oleh sebuah agensi sebelum ia diagihkan kepada pelbagai agensi bertanggungjawab untuk menangani kekurangan nutrisi atau malnutrisi.
Pengarah Frost & Sullivan Asia Pasifik, Growth Advisory bahagian Kimia, Bahan-Bahan dan Pemakanan, Nikhil Vallabhan berkata, usaha bersama awam dan swasta adalah penting untuk menyelesaikan isu keselamatan makanan dan pemakanan memandangkan hampir satu juta penduduk di Malaysia kekurangan zat makanan dan kebanyakan penduduk Asia Tenggara bergantung pada makanan yang tidak sihat dan ‘junk food’ (makanan tidak berkhasiat).
Beliau berkata, pihak terbabit mesti berinovasi untuk mewujudkan cara baharu menghasilkan tanaman lain dengan tanah yang sebahagian besarnya digunakan untuk tanaman padi dan tanaman kelapa sawit.
“Tetapi jika kita boleh mengurangkan penggunaan tanah untuk beras, kita boleh mempunyai lebih banyak pengeluaran tempatan untuk tanaman lain.
“Selain itu, menerusi dana berpusat, kita boleh memantau pengeluaran dan ke mana wang itu dibelanjakan dan mengukur produktiviti pada penghujung hari,” katanya kepada pemberita selepas berucap sebagai penceramah jemputan mengenai ‘Trend Keselamatan Makanan di ASEAN’ pada Fokus Stratum Bursa-HLIB Siri XV (ke-15), di sini, pada Rabu.
Nikhil berkata, pelaburan daripada sektor awam dan swasta dalam teknologi dan inovasi juga akan menyokong hasil atau pengeluaran yang lebih baik.
Beliau berkata, kerajaan boleh memberi insentif atau subsidi lebih baik kepada syarikat teknologi yang menyediakan teknologi tinggi dan latihan kepada petani dan bukannya memberi subsidi kepada petani itu.
“Ramai orang kini memiliki telefon pintar. Di sinilah syarikat atau pemimpin masyarakat boleh membantu petani menggunakan teknologi.
“Sebagai contoh, Chiangmai dan Chiangrai di Thailand, pemimpin masyarakat di sana didorong untuk memantau petani mereka untuk menentukan sama ada tanaman mereka diuruskan dengan baik mengikut masa menggunakan air, baja dan sebagainya menggunakan telefon pintar.
“Apabila ini dilakukan dengan satu hingga dua kitaran, ia akan menjadi kebiasaan, saya berpandangan Malaysia akan berada dalam kedudukan lebih baik di peringkat global untuk melaksanakan inisiatif sedemikian,” katanya. – Bernama