TERKINI

KWSP Nafi Tidak Cukup Wang, Pinda Akta

foto berita harian

PETALING JAYA, 13 April 2023 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil menafikan dakwaan bahawa badan wang simpanan itu berdepan dengan krisis tunai sehingga tidak cukup wang untuk membayar pengeluaran pra persaraan.

Sebaliknya, KWSP sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya dan segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan mengikut alokasi aset strategiknya dan bukan untuk membayar pengeluaran pra persaraan semata-mata.

“Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19,” kata Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan.

KWSP juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

“Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara dalam laporannya ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda.

“Simpanan median untuk kumpulan usia 51 hingga 55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada usia 55, dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik,” katanya.

Katanya, laporan Bank Negara juga menyatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian, dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050.

“Golongan milenial dalam lingkungan umur 26 hingga 40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara, kerana ramai menghadapi kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.

“Situasi ini boleh menjejaskan potensi peluang peningkatan simpanan sehingga RM94,000 apabila mereka bersara pada usia 60 tahun, seterusnya menjadikan mereka antara kumpulan demografi yang paling terkesan,” katanya.

Justeru, keutamaan KWSP adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.

“KWSP juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik.

“KWSP menyarankan ahli agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial,” katanya.

Sehingga Mac 2023, sebanyak 70.5 peratus daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18-55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur.

Sebanyak 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.

Tahap simpanan mereka kekal rendah, dengan median simpanan sebanyak RM890. – sumber utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp