TERKINI

Laluan Motosikal Lebuh Raya Perlu Naik Taraf, Kurangkan Risiko Kemalangan – Pengerusi LLM

Gambar hiasan – foto motoqar

KAJANG, 27 Jun 2023 – Syarikat pemegang konsesi diminta supaya menaik taraf laluan motosikal di lebuh raya masing-masing, agar ia juga sesuai digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi, dalam membantu usaha mengurangkan risiko kemalangan.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Jalaluddin Alias yang membuat permintaan itu berkata ada beberapa laluan seperti laluan masuk lorong motosikal di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak, yang dilihat tidak selamat digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi dan boleh mengakibatkan kemalangan.

“Syarikat konsesi lebuh raya diminta menaik taraf laluan (motosikal) ini, atau sediakan kemudahan sewajarnya bagi penunggang motosikal jenis ini bagi memastikan keselamatan penunggangnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengurusan Trafik LLM di Wisma Lebuh Raya di sini semalam.

Beliau berkata di sepanjang lebuh raya seliaan LLM dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, lebih 10,000 kemalangan jalan raya dilaporkan, dengan kemalangan maut membabitkan motosikal adalah tinggi iaitu kira-kira 200 kes.

Katanya syarikat konsesi lebuh raya juga perlu membuat penambahbaikan laluan motosikal dengan mengambil kira kemalangan akibat cuaca buruk, termasuk risiko penunggang motosikal dilanggar ketika berhenti di bawah jejambat untuk berteduh ketika hujan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp