TERKINI

Lambakan Pekerja Asing Akan Gagalkan Dasar Gaji Progresif – Prof Madya Dr Azeem

Azeem Fazwan Ahmad Farouk – foto malayadaily.com

PULAU PINANG, 27 Jun 2023 – Isu lambakan pekerja asing antara faktor utama yang akan mengagalkan perlaksanaan sistem gaji progresif seperti yang dicadangkan oleh kerajaan.

Bercakap kepada malayadaily, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia berkata, selain daripada isu lambakan pekerja asing di sektor industri, isu lain yang turut penting adalah samada ia disambut oleh sektor swasta dan awam.

“Ada tak pihak yang akan menyambut dasar atau pun seruan kerajaan ini supaya gaji sentiasa naik, itu saya rasa diluar kawalan kerajaan kerana ia bergantung kepada pasaran.

“Satu lagi perkara yang sebenarnya berkait dengan isu gaji progresif ini ialah lambakan pekerja asing.

Menurut Azeem, lambakan pekerja asing menjadi punca strategi gaji progresif ini tidak akan berjaya.

“Lambakan pekerja asing inilah yang menyebabkan strategi kerajaan yang ingin dilaksanakan kelak iaitu gaji progresif tidak akan berjaya.

“Kerana ada golongan yang boleh yang sanggup bekerja untuk kadar upah yang regresif iaitu golongan-golongan imigran yang datang untuk bekerja disini. Mereka sanggup bekerja untuk kadar gaji yang rendah dan jangka masa pekerjaan yang panjang. Yang mana majikan berkehendakkan sedemikian. Ujarnya.

Beliau menerangkan bahawa majikan berkehendakkan orang yang sanggup bekerja untuk upah yang rendah tetapi pada jangka masa yang panjang, eksploitasilah.

“Jadi bagaimana kita nak melaksanakan sistem gaji progresif ini?

“Dalam sektor perkhidmatan awam mungkin kita boleh kawal, tapi dalam sektor swasta kerajaan tidak boleh kawal, mereka (swasta) mempunyai dasar-dasar mereka yang tersendiri, berapa banyak dia nak bayar, berapa jam kena kerja, apakah kemudahan-kemudahan yang kita dapat selain daripada gaji dan elaun, samada kita mempunyai insuran kesihatan dsb. Katanya.

Azeem yang juga Pengarah di Cenpris berkata, kita harus sedar bahawa ramai rakyat berkecimpung dalam sektor yang tidak formal seperti Grab, orang-orang penjaja kecil yang mana upah mereka tak semestinya progresif, ia bergantung kepada permintaan.

“Kalau kita bercakap mengenai gaji progresif ini kita hanya bercakap mengenai orang yang bekerja makan gaji, tetapi orang yang kerja sendiri?

“Anak-anak muda yang bekerja dalam gig ekonomi ni, Grab dsb, mereka tidak tertakluk kepada dasar gaji progresif, mereka bekerja sendiri. Itu juga masalah yang perlu dilihat secara serius.

Pada Mei lalu, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi mengumumkan sedang meneliti sistem gaji progresif di negara ini. Dasar tersebut akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Sistem gaji progresif ialah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp