TERKINI

Laporan Bloomberg : Isham Jalil disiasat Polis

Isham Jalil (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Okt 24 – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil memberitahu beliau telah diminta untuk memberi keterangan berkaitan saranan beliau agar Perdana Menteri menyaman media Bloomberg.

Menurut Isham, Polis telah meminta beliau hadir pada petang ini di IPD Putrajaya berhubung posting beliau tersebut.

“Polis telah minta saya datang ke balai untuk beri keterangan berkenaan posting saya yang menyarankan Perdana Menteri PMX saman Bloomberg. Ia berkenaan laporan portal Malaysia Now memetik sumber Bloomberg yang mengatakan PMX telah arah SPRM untuk tidak siasat Farhash. Ujarnya.

Tambah Hisham, gesaan beliau kepada Anwar Ibrahim adalah kerana kenyataan Bloomberg tersebut adalah serius dan membawa implikasi yang besar.

“Jika kenyataan itu tidak benar, ia amat memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang kesungguhan PMX untuk memerangi rasuah.

“Kenyataan Bloomberg tersebut boleh menggambarkan bahawa usaha PMX untuk memerangi rasuah hanyalah retorik semata-mata dan juga membuka gambaran bahawa beliau cakap tidak serupa bikin. Jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat. Katanya.

Baru-baru ini, Malaysia Now memetik siaran Bloomberg yang melaporkan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah untuk memberi gambaran bahawa Daim dan isterinya – serta tokoh yang dekat dengan mereka, Dr Mahathir Mohamad – disiasat atas kesalahan jenayah.

Portal itu juga mendakwa Anwar mengarahkan SPRM agar tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang menjadi antara pemegang saham syarikat Farhash Wafa Heitech Padu Bhd.

Pihak Anwar sudah menafikan dakwaan tersebut.

Namun demikian, peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai status laporan berhubung pembelian saham oleh Farhash Wafa Salvador dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kontrak lumayan kerajaan, susulan pendedahan mengejutkan oleh Bloomberg bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menghalang siasatan ke atas bekas setiausaha politiknya itu.

Haniff Khatri Abdulla merujuk ketiadaan apa-apa tindakan susulan SPRM, lebih enam bulan selepas laporan difailkan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil.

Sementara itu, Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid membuat laporan polis berhubung artikel sebuah agensi berita mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.

Na’imah berkata, apa yang selama ini dianggap rahsia terbuka di negara ini kini telah disahkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa terkemuka.

Beliau berkata, ia adalah satu rahsia terbuka bahawa Daim dan dirinya menjadi sasaran kepada siasatan bermotif politik serta tuduhan palsu yang didalangi pemimpin tertinggi negara.

“Kenyataan ini kini disahkan secara bebas menerusi penyiasatan teliti oleh wartawan sebuah agensi berita terkemuka.

Dalam kenyataan yang sama, Isham Jalil menegaskan sekiranya kenyataan Bloomberg itu tidak benar, Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan dan menyangkal perkara ini agar Bloomberg menarik semula balik kenyataan tersebut serta meminta maaf agar reputasi Perdana Menteri, kerajaan dan rakyat Malaysia dapat dipulihkan.

“Jika tidak ia akan membuka kepada anggapan masyarakat antarabangsa bahawa institusi-institusi di Malaysia ini adalah korup dan mempertahankan korupsi. Ini tidak baik sama sekali. Kata Isham. – malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp