TERKINI

Laporan RCI Batu Putih: Kenyataan Anwar melulu – Peguam Kanan

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 2 Sept 24 – Peguam Kanan, Haniff Khatri mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya mengenai laporan laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan menyifatkannya sebagai kenyataan melulu.

Dalam satu rakaman video di media sosial facebook, Haniff berkata Anwar membuat kenyataan membabi buta kerana laporan tersebut belum pun dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

“Kenapakah Perdana Menteri ingin membuat suatu tindakan membabi buta untuk membuat kenyataan sedangkan orang lain belum tengok lagi laporan tersebut.

“Sedangkan sudah dijanji akan dibentang di parlimen, sabarlah dulu.

“Adakah tindakan Perdana Menteri ini mengikut konsep tata kelola yang baik dalam sistem tadbir urus negara? Soal Haniff.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu laporan media, menyifatkan kecuaian dalam mengendalikan isu Batu Puteh adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara.

Anwar juga dilaporkan berkata, perbahasan terbuka di Parlimen mengenai isu Batu Puteh akan menjadi pengajaran kepada anak bangsa selain iktibar supaya tidak mengorbankan kepentingan negara.

Menurut Haniff lagi, jika kabinet melalui kenyataan Azalina sudah membuat keputusan bahawa laporan RCI itu akan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat maka apakah tujuannya Perdana Menteri membuat kenyataan melulu sebelum ianya dibentangkan di parlimen sebelum 222 ahli Dewan rakyat mendapat peluang untuk membaca meneliti, menghadam dan memahami apakah kandungan laporan tersebut.

“Kalau Perdana Menteri nak buat kenyataan, maka dedahkan laporan itu sekarang, sebelum kenyataan itu dibuat, walhal dikatakan akan dibentang di parlimen pada sesi bulan Oktober, sebulan setengah lagi.

“Adakah dia faham laporan tersebut? adakah dia telah menghadap laporan tersebut? adakah dia telah membaca laporan tersebut atau menjadikan laporan itu satu benda sarkis bagi tujuan politik yang tidak matang di pihak Perdana Menteri Anwar Ibrahim. kata Haniff.

Tambah Haniff, rakyat wajib mengetahui persoalan ini kerana Anwar Ibrahim sering bercakap mengenai tatakelola.

“Manakah tata kelola yang baik?

“Dah janji nak bentang di parlimen, tunggu parlimen ,dah dibentang parlimen, telah mula bahas barulah sesiapa saja, apatah lagi Perdana Menteri berhak untuk membuat apa apa kenyataan.

Haniff berkata kenyataan yang tidak berasas tanpa didedahkan kepada parlimen, akan menimbulkan persepsi dikalangan rakyat bahawa pembentukan dan penubuhan mengadakan prosiding RCI Batu Putih adalah semata mata untuk membuat dalih daripada perkara sebenar.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dibentangkan di Parlimen. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp