TERKINI

Latihan CRC Mampu Bantu Penagih Dadah

MELAKA 16 Mac 2023 – Peserta Program Latihan Certified Recovery Coach (CRC) 2.0 mampu menolong pihak kerajaan dan swasta dalam memastikan penagih dadah dapat dibantu, termasuk dalam aspek pemulihan dan khidmat sokongan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sani.

Beliau berkata 33.66 peratus kes dadah adalah berulang iaitu melibatkan mereka kembali menagih dadah, dan program berkenaan dapat mewujudkan sistem sokongan atau ‘peer group support’ dalam mengurangkan bilangan mereka yang kembali menagih.

Katanya lagi, antara modul Latihan program termasuk saringan, kemasukan dan penilaian; pengurusan kes dan pelaporan dan kokumentasi; campur tangan krisis; komorbiditi dan isu kesihatan mental; etika professional dan nilai-nilai; pelanggan, keluarga dan orang berkempentingan serta pengurusan temuduga dan motivasi replas.

“Program Latihan jurulatih pemulihan bertauliah ini direka untuk individu dalam kalangan masyarakat sama ada bekas pengguna atau bukan, yang ingin membina pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pemulihan ketagihan bahan terlarang seperti dadah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Latihan Certified Recovery Coach 2.0 2023 di sini hari ini. – sumber BERNAMA

Facebook
Twitter
WhatsApp