TERKINI

Lesen Jual Arak : Contohi Thailand, Nga Kor Ming disaran hormati semangat perpaduan – PUTRA

Nasrul Hasan Abdul Latif (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Jan 2025 – Parti PUTRA menyarankan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming agar menghormati semangat muhibbah dan semangat perpaduan dikalangan masyarakat dalam isu lesen penjualan arak.

Bercakap dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Hasan Abdul Latif berkata, lesen penjualan arak oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dihadkan khusus di kedai serbaneka dan pasar mini ini wajar diperkenalkan dan terhad kepada kawasan yang penduduknya bercampur dengan jumlah penganut agama Islam di sesuatu tempat kurang daripada 60%.

“Inilah semangat muhibah yang boleh diterapkan kerajaan dalam usaha membangunkan semangat perpaduan dan bukan menetapkan sesuatu solusi mengikut emosi dan keghairahan kerana mempunyai kuasa. Ujarnya.

Nasrul Hasan juga memberikan cadangan bagaimana negara Thailand mengawal penjualan alkohol dengan cara yang boleh dicontohi oleh Malaysia. Beliau turut berpendapat bahawa Menteri seharusnya sedar arak yang dijual secara terbuka akan memberi kesan buruk jika ia tidak dikawal.

“Negara jiran seperti Thailand boleh diambil contoh apabila jualan arak di kedai serbaneka atau pasar mini di sana, diletakkan di dalam peti sejuk dengan tinted hitam.

“Manakala masa jualannya pula adalah pada masa-masa tertentu bukan sepanjang masa.

“Contoh seperti ini kenapa Menteri KPKT tak nak jadikan iktibar demi menjaga keamanan, keharmonian dan perpaduan komuniti di kawasan yang tidak perlukan penjualan arak?, soalnya.

Nasrul dalam kenyataan yang sama, menyarankan kepimpinan DAP untuk mempertimbangkan kedudukan Nga Kor Ming sebagai pemimpin yang dilihat tidak fokus memperkasa kemakmuran negara.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan dengan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka diperluaskan ke beberapa kawasan lain.

Beliau dilaporkan berkata, ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu.

Namun, kelulusan cadangan itu bergantung kepada jumlah tuntutan yang disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.

Namun demikian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pula menyarankan agar Pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Beliau dipetik sebagai berkata, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp