KUALA LUMPUR, 16 Sept 24 – Perikatan Nasional (PN) telah membuat ketetapan sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Dalam satu kenyataan, PN yang diwakili oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata sebab utama penolakan tersebut adalah kerana deraf MOU itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mana antara syarat yang dikenakan, dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
“Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Hamzah juga mendakwa deraf MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.
“Deraf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.
“Deraf MoU ini turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen, sedangkan setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Perikatan Nasional mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut. – malayadaily.com