TERKINI

Mahathir gesa kerajaan desak AS hentikan sokongan kepada Israel

Mahathir Mohamad – foto Youtube TDM

KUALA LUMPUR, 21 Nov 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan Malaysia menumpukan desakan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan sokongan mereka ke atas Israel sebagai salah satu cara untuk menghentikan serangan Israel ke atas rakyat Palestin.

Mahathir berkata beliau percaya kuasa veto yang ada pada AS boleh memainkan peranan tersebut.

“Saya percaya Amerika Syarikat (AS) dengan kuasa vetonya memain peranan.

“Kita perlu bertubi-tubi desak supaya AS henti sokongan terhadap Israel. Ujarnya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mahathir berkata, sebelum ini apabila berlaku rusuhan yang mendedah orang ramai kepada bahaya pembunuhan dan keseksaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar pasukan pengaman.

Malah menurut beliau, Malaysia telah hantar pasukan pengaman ke Congo, Namibia, Cambodia, Somalia, Bosnia Herzegovina dan kini, ke Lubnan.

“Tetapi apabila Israel melakukan pembunuhan rakyat Palestin dengan kejam untuk hapus bangsa Palestin, kenapa PBB tidak hantar pasukan keselamatan sama sekali.

Justeru menurut Mahathir, Malaysia tidak perlu hadkan pendirian kepada merayu supaya Israel hentikan serangan ke atas rakyat Palestin.

“Saya yakin hanya AS sahaja yang boleh hentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel. Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp