TERKINI

Mahathir kecam Israel, AS

Mahathir Mohamad – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 14 Dis 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Israel dan Amerika Syarikat kerana kedua negara ini meneruskan pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan semalam, Mahathir berkata AS mahu Israel meneruskan pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin bukan sahaja di Gaza, tetapi di Tebing Barat dan di Lubnan.

“Seluruh dunia menuntut gencatan senjata. Seluruh dunia kecuali AS – juara hak asasi manusia dan kebebasan daripada penindasan.

“AS mahu Israel meneruskan pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin bukan sahaja di Gaza, tetapi di Tebing Barat dan di Lubnan.

“Tiada Hamas di Tebing Barat atau Lubnan. Israel menentang semua rakyat Palestin.

Mahathir, ketika menjadi perdana menteri, amat dikenali kerana suara lantangnya mengkritik Israel berkata, kita telah melihat dua perang dunia yang dikatakan untuk menamatkan peperangan, namun peperangan belum berakhir.

“Ia tidak akan berakhir kerana AS sentiasa bersedia untuk peperangan, untuk membunuh orang, untuk hegemoni. Ujar Mahathir.

Dalam kenyataan yang sama, Mahathir mendakwa Israel banyak belajar daripada Nazi yang mana regim Nazi sebelum ini beranggapan penyelesaian terakhir adalah menyingkirkan Yahudi dari dunia.

“Bagi Israel, penyelesaian terakhir nampaknya adalah untuk menghapuskan rakyat Palestin daripada dunia. Ia bukan hanya Hamas.

“(Bagi Israel) Satu-satunya cara untuk menamatkan perang adalah dengan membunuh semua rakyat Palestin dalam pembunuhan beramai-ramai besar-besaran. Katanya.

Mahathir juga mempersoalkan, Israel mendakwa bahawa mereka menghukum rakyat Palestin kerana serangan Hamas yang dilakukan pada 7 Oktober dan mendakwa kematian 1400 orang Israel.

“Tetapi Israel lupa bahawa selama 70 tahun Israel telah menindas rakyat Palestin, mencuri tanah mereka untuk mewujudkan negara Israel, meluaskan negara mereka ke tanah Palestin, membina penempatan, menangkap dan memenjarakan ribuan rakyat Palestin tanpa bicara, menyeksa mereka, membunuh rakyat Palestin setiap hari, merampas Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

“Tetapi apa yang dikatakan hukuman terhadap rakyat Palestin adalah tidak seimbang dengan kerosakan yang dilakukan oleh Hamas.

“Sudah 18,000 penduduk Gaza telah terbunuh. 70% daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Malah bayi juga tidak terlepas. Seluruh bandar yang mempunyai lebih sejuta penduduk telah dihancurkan. Hospital, sekolah telah dibom. Bekalan elektrik dan air terputus.

“Makanan tidak tersedia. Kecuali beberapa orang Israel yang diambil sebagai tebusan, Israel tidak banyak menderita. Ujar Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp