TERKINI

Mahathir Seru Rakyat Tolak Cara Hidup Barat, Pegang Teguh Pada Islam

Mahathir Mohamad – Foto facebook Dr. Mahathir bin Mohamad

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2023 – Bekas perdana menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa meniru gaya hidup barat yang dianggap ‘universal’, kelak akan merosakkan institusi kekeluargaan dan agama.

Beliau dalam catatan di laman sosialnya twitter berkata, tuntutan kesamaan antara lelaki dan wanita sudah sampai ke tahap cara hidup lelaki dan wanita tiada beza.

“Tuntutan kesamaan (equality) antara wanita dan lelaki sudah sampai ke tahap cara hidup lelaki dan perempuan tidak lagi berbeza, walaupun dalam perlakuan maksiat. Jika lelaki boleh buat kenapa tidak wanita.

“Institusi perkahwinan dan berkeluarga (family) tidak lagi diamal, terutama dikalangan orang muda. Mereka mengadakan hubungan seks dengan siapa sahaja.

“Anak yang dilahir tidak lagi menjadi anak haram. Dengan bangganya mereka akui mereka adalah anak diluar nikah. Siapa yang menjadi bapa tidak dihirau.

Mahathir juga mengingatkan bahawa orang barat menganggap budaya mereka adalah budaya dunia, (universal) dan menganggap orang Asia tidak ada budaya tersendiri.

“Tetapi sekarang kita sedang lihat budaya barat runtuh dan merosot.

“Pakaian orang barat sekarang tidak senonoh. Seluar pendek dan carik dipakai oleh muda mudi sehingga terdedah aurat tanpa segan silu.

“Akhirnya perkahwinan dan kekeluargaan boleh didiri antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Sebelum pun amalan ini dilaku masyarakat menerima liwat sebagai perkara biasa, tidak haram lagi dan dihalalkan oleh agama mereka.

Menurutnya, semua amalan-amalan ini bermula dalam masyarakat termasuk agama mereka.

“Tetapi semua amalan ganjil dan haram ini direstu oleh kerajaan-kerajaan mereka.

“Undang-undang lama dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baru. Undang-undang perceraian antara pasangan lelaki atau pasangan perempuan disediakan.

“Semua amalan haram ini diamal secara terbuka di negara Barat.

Kata Mahathir lagi, barat berpendapat semua amalan haram yang sudah dihalal oleh mereka hendaklah diamal oleh semua negara dan bangsa di dunia malah mereka secara terbuka mempromosi budaya songsang mereka melalui  filem dan konsert.

“Mereka mengambil warna pelangi sebagai bendera mereka. Melalui berbagai acara dan produk, warna pelangi diguna untuk bukti penerimaan LGBT oleh mereka. Katanya.

Beliau menasihati agar rakyat tidak meniru gaya hidup barat, kerana mereka telah menghalalkan yang haram.

“Kita tidak harus keterlaluan. Tetapi pilihlah yang jernih dan buanglah yang kotor.

“Janganlah terlalu taksub dengan Barat sehingga kita perhambakan diri kita.

“Bagi orang Islam pegang kuatlah kepada cara hidup Islam atau Addeen. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp