TERKINI

Mahathir sindir kerajaan isu air ke Singapura

Mahathir Mohamad – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 14 Julai 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysia sudah menjadi negara subsidi kepada negara asing.

Kenyataan tersebut dibuat dalam entrinya di media sosial, baru-baru ini dalam nada menyindir kerana Malaysia terus membiarkan Singapura menikmati subsidi air dari Malaysia sejak 1962.

“Sehingga kini kita masih jual air mentah dengan harga 3sen seribu gelen.

“Perkiraan menunjuk yang Singapura dapat subsidi sebanyak RM39 million setahun dari Malaysia (Johor) berbanding jika (jualan air) berharga 45sen untuk 1000 gelen sehari sejak dari permulaan penjualan 250 million gelen sehari.

Tambah beliau, jumlah dari 1962 hingga 2023 (61 tahun) Kerajaan Malaysia memberi subsidi kepada Singapura berjumlah RM 2,379,000,000 (Dua billion tiga ratus tujuh puluh sembilan million).

“Yang rugi ialah negeri Johor kerana air disedut dari sungai Johor.

“Nasihat saya jual air mentah Johor pada harga 3sen 1000 gelen sehingga kiamat. Katanya.

Ketika menjadi Perdana Menteri kali ke-2, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat untuk berunding semula terma perjanjian air yang ditandatangani antara Malaysia dengan Singapura.

Ini kerana menurutnya, harga semasa jualan air ke republik itu sebagai “tidak masuk akal”.

Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Pada Mei 2019, Kerajaan Singapura mendakwa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mengikut Perjanjian Air 1962 (62WA).

Dalam pada itu, Datuk Saifuddin Abdullah yang ketika itu menjadi Menteri Luar Negara berkata di Dewan Rakyat, Malaysia akan membawa perkara itu ke timbang tara antarabangsa jika Singapura enggan mengadakan perbincangan.

Rundingan tersebut masih belum menampakkan hasil hingga kerajaan hari ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp