TERKINI

Mahathir Tiada Kepentingan Bila Mulakan Proklamasi Orang Melayu – Chegu Bard

Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) – Foto Awani

Tiada sebarang kepentingan diperolehi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau menggerakkan kempen Proklamasi Orang Melayu.

Sebaliknya, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin berkata, apa yang penting adalah isu yang bekas perdana menteri itu ketengahkan.

“Dia bukan isu Tun Mahathir, isunya proklamasi orang Melayu, bukan soal parti politik, soal dia punya ego ke, kepentingan apa ke tidak ada apa kepentingan.

“Betul tak isu diketengahkan, betul tak Melayu dalam keadaan yang diperkatakan, ditindas teruk, Islam kalau pertahan Melayu dan Islam disebut rasis.

“Tetapi kalau mereka tuntut satu demi satu hak Melayu Islam disebut hak asasi dan demokrasi,” katanya.

Beliau yang dikenali sebagai Chegu Bard itu berkata, beliau yakin Mahathir juga tidak lagi mempunyai hasrat untuk agenda politik peribadinya.

“Dia bukan nak bertanding, dia bukan nak jadi perdana menteri,” kata Chegu Bard.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa perjuangan Melayu Mahathir seringkali mengikut kesesuaian politiknya.

Tengku Razaleigh mendakwa Mahathir mengambil berat tentang nasib orang Melayu dan sering membangkitkan isu itu dalam pertemuan mereka, namun tindakannya ada kala tidak seiring. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp