TERKINI

Mahathir tolak dakwaan Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 13 Ogos 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau adalah dalang yang menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan 1.0 memerintah.

Sebaliknya Mahathir menjelaskan bahawa keputusan beliau untuk meletak jawatan secara terhormat dibuat disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak nasihatnya, ia tidak ada kaitan dengan usaha untuk mengharamkan UMNO.

“Sebab yang saya letak jawatan ialah apabila parti saya, Bersatu, menolak nasihat saya. Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, dia secara terhormat sepatutnya letak jawatan. Dan itulah yang saya lakukan.

“Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat UMNO.

“Zahid bukan hero. Beliau hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya,” katanya menerusi hantaran di X, semalam.

“Di waktu Ahmad Zahid datang jumpa saya, dia baru jadi Presiden UMNO. Dia ingin tahu apa akan jadi kepada UMNO setelah kalah.

“Bagi saya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan UMNO iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Parti yang mengguna nama UMNO (ketika itu) berjuang untuk wang (cash is king),” katanya.

Mahathir menambah, disebabkan perjuangan UMNO tersasar, beliau berpandangan lebih baik nama parti itu tidak lagi digunakan dan cara terbaik adalah dengan membubarkannya.

“Ahmad Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna nama UMNO,” katanya.

Beliau berkata, selepas berjumpa kali kedua, Ahmad Zahid didakwa cuba untuk menjelaskan yang beliau tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebarkan umum.

“Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau. Bukti yang cuba ditunjuk kepada saya sepatutnya ditunjuk kepada hakim mahkamah,” katanya.

Sabtu lalu, Zahid Hamidi dalam satu kenyataan mendakwa dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.

Menurutnya, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.

Sementara itu, Mahathir menerusi hantaran yang sama turut mendedahkan Ahmad Zahid dua kali menemuinya ketika beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp