TERKINI

Papagomo didakwa di mahkamah bawah Akta Hasutan 1948

Wan Muhammad Azri Wan Deris – foto Utusan TV

KUALA LUMPUR, 8 Jan 2024 – Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Sesyen Siber, Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan Akta Hasutan 1948.

Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini pro Israel serta negara barat.

Kenyataan itu yang diucapkan Papagomo dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di akaun Facebooknya baru-baru ini, telah dijadikan subjek pertuduhan oleh pihak pendakwaraya untuk mensabitkannya dengan akta berkenaan.

Beliau dikenakan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, walaupun Pendakwa Raya menetapkan jaminan RM10,000.

Namun, peguam beliau, Rafique Rashid Ali membantah jumlah itu dan memohon dikenakan sebanyak RM3,000 memandangkan keadaan ekonomi anak guamnya yang tidak stabil.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan dibayar oleh isteri Papagomo.

Mahkamah juga turut menolak permohonan Pendakwa Raya agar tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung kes itu.

“Kita bantah kerana kebebasan bersuara itu akan tersekat kalau tidak dibenarkan menyuarakan isu-isu yang berkepentingan awam.

“Mahkamah bersetuju dengan kita dan tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaraya.

“Jadi, kita akan kembali ke mahkamah pada 5 Februari ini untuk sebutan kes,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp