TERKINI

Mahathir tuntut umat Islam kuasai ilmu pengetahuan untuk lindungi ummah

Mahathir Mohamad – foto TV PAS

PUTRAJAYA, 19 Mei 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kelemahan umat Islam yang tidak menguasai ilmu dan teknologi menyebabkan mereka dan agama Islam terus dihina.

Menjelaskan perkara tersebut, beliau dalam satu entri di media sosial X baru-baru ini berkata, Quran menyuruh umat Islam untuk bersedia melindungi keselamatan ummah namun umat Islam gagal kerana tidak menguasai ilmu hingga tidak mampu mengeluarkan senjata sendiri untuk mempertahankan diri mereka.

“Senjata yang sesuai di zaman ini ialah machine-gun, roket, meriam, kereta kebal, pesawat pejuang, kapal perang dan lain-lain. Orang Islam tidak dapat cipta dan mengeluar senjata ini.

“Sebabnya ialah oleh kerana mereka tidak miliki ilmu dan kepakaran yang diperlukan.

Mahathir berpendapat bahawa ilmu pengetahuan sains dan matematik memang dikuasai oleh orang Islam pada zaman dahulu, namun apabila datang kumpulan yang berpendapat bahawa ilmu tersebut tidak memberi pahala untuk akhirat.

“Apakah ilmu dan kepakaran yang diperlukan? Umumnya ilmu sains dan matematik. Di zaman dahulu, ilmu-ilmu ini memang ada pada orang Islam.

“Tetapi apabila datang pendapat bahawa kononnya ilmu-ilmu ini tidak memberi pahala untuk akhirat, orang Islam mengenepi ilmu-ilmu ini.

“Dengan itu keupayaan mereka mencipta dan mengeluar senjata-senjata ini terhakis. Ujar Mahathir.

Beliau turut mencadangkan agar orang Islam yang berhajat untuk tunaikan kewajipan mereka untuk melindungi dan menyelamat umat Islam, penguasaan ilmu sains dan matematik hendaklah dituntut oleh mereka.

“Jika orang timur boleh kuasai ilmu-ilmu ini dan mereka mampu mencipta dan mengeluar alat-alat pertahanan ini, tidak ada sebab kenapa orang Islam tidak boleh.

“Islam juga perlu mengadakan sebuah negara maju untuk melindungi umat Islam.

Tambah Mahathir, jika kita ingin tunaikan kewajipan kita seperti yang diwajibkan oleh agama Islam, tindakan menuntut ilmu dan membangun keupayaan mencipta dan mengeluar senjata moden hendaklah diusahakan oleh negara-negara Islam dan orang Islam.

“Jika kita perlu guna bahasa orang asing untuk dapat ilmu penting ini, kita perlu guna.

“Islam mewajib kita baca.

“Membaca membuka penguasaan ilmu. Katanya.

Mahathir, dikenali dengan kelantangan suaranya kepada dunia barat khususnya dengan menghadapi hagemoni kuasa besar dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam termasuk isu Palestin.

Selain ucapan-ucapannya yang kontroversi hingga dilabel sebagai anti semetik, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003, turut mendapat bantahan kumpulan pro bahasa kebangsaan.

Dasar tersebut bagaimanapun telah dibatalkan pada 2012 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang mana ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp