TERKINI

Mahathir ulangi gesaan Anwar kemuka bukti terhadapnya

Malayadaily.com

PUTRAJAYA, 19 Apr 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaannya ke atas Anwar Ibrahim untuk segera mengemukakan bukti terhadapnya berhubung dakwaan beliau menyimpan berbillion ringgit dengan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Dalam entri terbarunya, semalam, beliau berkata, membuat sutau tuduhan itu mudah, namun tuduhan tanpa bukti tidak boleh diterima.

“Membuat tuduhan mudah. Tetapi tuduhan tanpa bukti tidak boleh diterima.

“Mudah sungguh mendakwa si polan-si polan kaya kerana curi duit.

“Tetapi bukti tidak dapat ditunjuk. Berbulan-bulan, bahkan bertahun sudah berlalu. Ujarnya.

Mahathir juga menegaskan bahawa duit berbillion adalah sukar disembunyikan kerana jumlah yang besar itu perlu dibelanjakan pada masa yang sama setiap pergerakan duit mempunyai rekod yang tidak boleh disembunyikan.

“Duit berbillion tidak boleh disembunyi. Ia perlu dibelanja. Tiap gerakan akan direkod, ada paper trail.

“Ada rekod dalam cek, rekod dalam bank. Kalau tak dapat belanja kerana paper rekod apa guna duit. Kata beliau.

Mahathir turut membangkitkan kembali dakwaan Anwar sebelum ini yang mendakwa mempunyai berkotak-kotak bukti mengaitkan kesalahan beliau, agar mendedahkannya.

“Tunjuklah bukti. Tak usah cuba bawa cerita lain. Mana dia kotak-kotak berisi dokumen-dokumen. Tunjuklah. Gesa beliau.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi peguamnya telah memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Ucapan fitnah tersebut berlaku pada 18.3.2023 apabila defendan (Anwar Ibrahim) telah membuat ucapan di sebuah program yang bernama Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Melawati, Shah Alam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp