TERKINI

Majlis Perundingan Bukan Islam Bantah Ajar Hadis Di Sekolah Kerajaan

Kenyataan Media Majlis Perudningan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2023 – Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan subjek berkaitan koleksi hadis Nabi Muhammad di semua sekolah di seluruh negara.

Kumpulan tersebut bimbang pelancaran modul “40 Hadis Imam Al-Nawawi” itu yang bakal dilaksanakan di sekolah menengah agama kerajaan dan bantuan kerajaan akan diperkenalkan ke seluruh sekolah di bawah kementerian itu tahun hadapan.

“Oleh itu, ia akan meliputi sekolah jenis kebangsaan yang merangkumi pelajar daripada agama berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pendidikan Islam diajar seperti itu di sekolah.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan kata MCCBCHST turut mengehadkan status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kepada upacara keagamaan.

“Sekolah kebangsaan mesti menjadi tempat menggalakkan perpaduan dan bukan memperkenalkan dasar yang memecahbelahkan,” katanya.

Oleh itu, ia juga hanya perlu diajar di sekolah agama, katanya.

Majlis tersebut juga pernah membantah modul tulisan khat atau kaligrafi Arab, di semua sekolah di seluruh negara, ketika KPM memperkenalkannya pada 2019.

KPM melancarkan modul itu pada 19 Ogos lalu, dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Modul itu katanya membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM Omar Salleh berkata modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp