TERKINI

Malaysia Komited Dalam Usaha Pastikan Sektor Kesihatan Adalah Untuk Semua

foto tvs

PUTRAJAYA, 8 April 2023 – Malaysia komited dalam usaha memastikan bahawa sektor kesihatan adalah untuk semua dengan melaksanakan pelbagai dasar bagi terus meningkatkan prestasi sistem kesihatan dan pencapaian penuh Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perkara ini hanya boleh dicapai melalui komitmen politik yang kukuh dan usaha pelbagai sektor.

“Pandemik telah menguatkan lagi kepentingan penyediaan kesihatan asas dalam memastikan penduduk di negara kita selamat dan sihat tanpa mengira kewarganegaraan atau faktor lain.

“Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, banyak kemajuan telah dicapai dalam sektor kesihatan awam dan kita menyaksikan kolaborasi lebih erat dijalin di antara kerajaan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika kita berusaha ke arah mencapai matlamat memastikan semua orang mempunyai akses yang sama dalam sektor kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Sedunia.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Rabindra Abeyasinghe dalam kenyataan sama pula berkata Malaysia telah mencapai kemajuan luar biasa dalam meningkatkan keberhasilan kesihatan negara tidak terkecuali bagi UHC yang berkesan pada 1980-an.

“Ia tidak mungkin dapat dicapai dan diteruskan tanpa ketabahan dan dedikasi tenaga kerja sektor kesihatan Malaysia, kepimpinan kerajaan serta penggubal dasar dan kolaborasi yang kukuh dengan rakan kongsi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – sumber Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp