TERKINI

Mansuh Pencen Ahli Politik, Ganti KWSP, Jimat Perbelanjaan Kerajaan – Pakar

Dewan Rakyat – Foto Jabatan Penerangan Malaysia

SHAH ALAM, 26 Sept 2023 – Cadangan memansuhkan pemberian pencen kepada ahli politik akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan wang berkenaan dapat digunakan semula untuk menambah baik kualiti hidup rakyat.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan boleh menggunakan hasil penjimatan itu untuk disalurkan kepada mana-mana ahli Parlimen yang memerlukan dana bagi membangunkan kawasan mereka.

“Sekarang adalah masa yang terbaik untuk memansuhkan pencen ahli politik dan digantikan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kerana kebanyakan ahli politik berhadapan dengan masalah kekurangan peruntukan.

“Langkah ini merupakan salah satu cara yang boleh kerajaan guna untuk menambah baik infrastruktur awam tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 22 September lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan menggantikannya dengan caruman KWSP sebagai simpanan selepas tamat berkhidmat.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, cadangan tersebut dilontarkan kerana ada pemimpin yang hanya berkhidmat satu penggal bersamaan dengan empat hingga lima tahun sahaja sebelum berundur, namun mereka tetap menerima pencen seumur hidup.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan perlu mengkaji semula pemberian wang pencen kepada ahli politik dengan menitikberatkan faktor jangka masa perkhidmatan yang mereka beri kepada rakyat.

Jelas beliau, pemberian pencen kepada ahli politik sedia ada boleh diteruskan, namun kerajaan perlu mempertimbangkan kaedah baharu bagi menggantikan pemberian wang saraan selepas tamat berkhidmat.

“Saya mencadangkan kerajaan melakukan polisi baharu iaitu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kesemua ahli politik baharu tidak lagi diberikan wang pencen sebaliknya digantikan dengan caruman KWSP atau KWAP.

“Pelaksanaan kaedah itu dilihat lebih adil dan secara tidak langsung akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, jika kerajaan meneruskan pelaksanaan pemberian pencen kepada ahli politik, ia menyebabkan perbelanjaan tahunan semakin meningkat.

“Belanjawan 2023 menunjukkan jumlah perbelanjaan pencen adalah sebanyak RM22.6 bilion dan ia angka berkenaan akan semakin meningkat. Salah satunya disebabkan pencen ‘orang politik’.

“Secara keseluruhannya, pencen juga perlu diuruskan sebelum menjadi beban di kemudian hari. Salah satu cara dengan menggunakan skim caruman KWSP juga,” kata beliau. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp