TERKINI

“Tahniah, PMX berjaya kurangkan rasuah” – Tun M

Mahathir Mohamad – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 26 Jan 2024 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaannya menghapuskan rasuah di Malaysia.

Ucapan tahniah tersebut dizahirkan dengan ungkapan sinis oleh Mahathir dalam entri terbarunya, hari ini.

Mahathir berkata, kes rasuah berjaya dikurangkan apabila 47 kes telah digugurkan yang mana secara tidak langsung 47 kes rasuah tersebut telah berjaya dikurangkan.

“Saya ucap tahniah kepada PMX kerana ia sudah berjaya mengurangkan rasuah di Malaysia.

“Yang pertama rasuah dikurangkan dengan menghenti dakwaan terhadap ke semua 47 kes Timbalan Perdana Menteri dalam mahkamah. Dengan ini 47 kes rasuah dikurangkan.

Mahathir menambah, sebanyak RM 3 billion juga berjaya diselamatkan apabila kenyataan bersumpah (statutory declaration – SD) Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan (No further action).

“Beberapa wakil rakyat parti pembangkang mengisytihar mereka sokong Anwar kerana dakwaan sokongan dibuat untuk dapat peruntukan wang dari kerajaan.

“Ini tidak dianggap sebagai rasuah. Sekali lagi rasuah dikurangkan.

“Demikian juga rasuah dikurangkan apabila tindakan Ketua SPRM memiliki bermillion saham tidak dianggap sebagai rasuah kerana adik ketua guna akaun ketua. Sindir Mahathir.

Dalam kenyataan yang sama, bekas perdana menteri sebanyak dua kali ini juga menempelak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menurut Mahathir, SPRM bertanggungjawab menyiasat tuduhan yang dibuat oleh perdana menteri.

“Untuk menentu kesalahan bukti tidak penting. Tuduhan oleh PMX cukup.

“Demikianlah bertanggungjawabnya SPRM. Ujarnya.

Mahathir juga mendakwa bahawa siasatan oleh SPRM hanya tertumpu kepada dakwaan Perdana Menteri ke atas ‘Tun dan keluarganya’

“Sebaliknya kerajaan PMX sedang siasat Tun Tun yang memiliki kekayaan atau dituduh tanpa bukti memiliki kekayaan.

“Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari. Katanya.

“Mereka gagal kerana tidak dapat resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun. Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak.

“Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM. Ujar Mahathir.

Mahathir juga menggambarkan kejayaan untuk mendakwa dan memenjarakan Tun-Tun sebagai suatu kejayaan melawan rasuah bagi kerajaan hari ini.

Baru-baru ini dalam satu sidang media, Mahathir mendedahkan bahawa anaknya, Mirzan disiasat oleh SPRM dan beliau dituntut untuk mendedahkan segala urusniaga dan transaksi beliau selama 42 tahun. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp