TERKINI

Mantan Datuk Bandar, ahli akademik tidak setuju pilihan raya PBT

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 7 Jan 2024 – Cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai supaya diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapat bantahan daripada beberapa mantan Datuk Bandar dan ahli akademik.

Mereka menyifatkan cadangan itu sebagai ‘membunuh’ perpaduan kaum yang sentiasa dijaga dan terpelihara di satu-satu bandar raya selama ini.

Mantan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh memberi dua sebab kenapa pilihan raya PBT tidak boleh diadakan.

Pertama katanya, untuk mengadakan satu-satu pilihan raya, memerlukan kos atau perbelanjaan yang besar melibatkan wang rakyat.

Sedangkan, kata beliau, wang itu sepatutnya digunakan kerajaan untuk tujuan pembangunan dan pengurusan negara, bukan membazir demi untuk kepentingan pihak tertentu yang merasakan mereka boleh menguasai satu-satu bandar.

“Duit perbelanjaan mengadakan pilihan raya PBT ini boleh dijimatkan dan digunakan bagi tujuan pembangunan negara dan pengurusan yang lebih penting daripada mengadakan pilihan raya.

“Kita sudah ada dua pilihan iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Mengapa perlu diadakan pilihan raya peringkat ketiga iaitu PBT lagi?,” soal beliau dalam wawancara eksklusif dengan MalayaDaily, hari ini.

Sebab kedua, kata Sirajuddin lagi, pilihan raya PBT juga boleh menyebabkan orang politik berpolitiking dengan mengadakan kempen sana sini.

Ujarnya, dalam proses kempen itu tentunya akan timbul isu kata mengatakan dan hasut menghasut.

“Oleh itu, ini tidak baik untuk masyarakat Malaysia dan kita tahu ini sangat sensitif kepada perpaduan nasional. Selain akan mudah tergugat dan menghancurkan keharmonian kaum sekiranya tidak dibendung dengan baik.

“Jadi, eloklah politiking ini dikurangkan supaya usaha kerajaan dapat ditumpukan kepada soal pengurusan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku perbezaan pendapat antara kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada satu parti dengan kerajaan negeri yang mempunyai aliran parti berlainan serta peringkat PBT yang turut mempunyai satu parti lain.

“Maknanya, cara komunikasi dan mood perhubungan antara tiga pihak ini tidak sehaluan sehingga menimbulkan banyak masalah dan isu seperti soal penyaluran bantuan kewangan, kerjasama dan sebagainya.

“Sudah tentu masalah ini akhirnya dipikul oleh rakyat yang berterusan menderita,” kata beliau.
Mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ruslin Hasan pula berkata, sistem memilih Ahli-ahli Majlis melalui pilihan raya PBT merupakan proses yang agak remeh dan melibatkan banyak masalah.

Kata beliau, antara masalah yang timbul ialah usaha melobi untuk menang dan mendapatkan tempat dalam barisan Ahli Majlis.

“Yang saya risau, bagaimana jika yang menang itu tidak dapat melaksanakan tugas dengan terbaik

Sedangkan, mereka akan memegang jawatan itu untuk tempoh selama lima tahun.

“Yang bertanding sebagai calon dan yang menang ini tidak semestinya yang dipilih dari kalangan berpelajaran atau betul-betul yang boleh buat kerja.

“Calon ini dipilih mungkin atas dasar populis, bukan berlandaskan kebolehan atau keupayaannya dalam memberi khidmat kepada masyarakat, selain tidak tahu pun tugas sebenar sebagai seorang Ahli Majlis,” tegas beliau.

Sementara itu, mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dt. Hashim Yaacob pula berkata, sudah tentu calon yang dipilih berdasarkan kaum yang majoriti bagi Kawasan PBT berkenaan.

“Kalaulah sesuatu bandar itu mempunyai satu kaum yang populasinya sangat besar daripada kaum lain, saya rasa yang akan terpilih adalah calon dari kepada kebanyakan kaum berkenaan.

“Saya beri contoh, kalau kebanyakan rakyat di kawasan itu majoritinya adalah kaum A, saya fikir tidak boleh lari daripada yang dilantik atau dipilih itu adalah mereka dari kaum itu.

“Bagaimana dengan kaum-kaum lain? Sedangkan sesuatu bandar atau Kawasan PBT itu penduduknya pelbagai kaum,” katanya.

Dr. Hashim menjelaskan, kalau kaum A sahaja yang akan menduduki PBT itu, maka polisi sedia ada sudah tentu akan diubah mengikut selera dan citarasa rakyat yang kosmopolitan.

Beliau mengingatkan pihak berkaitan, sekiranya mahukan keharmonian, keamanan, perpaduan dalam negara ini kekal berbilang kaum, kerajaan tidak boleh mengizinkan pilihan raya PBT diadakan kerana tidak akan mencapai hasrat yang diinginkan negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp