TERKINI

Melayu Perlu Dalami al-Quran, Amal Cara Hidup Islam Untuk Berjaya, kata Tun M

Mahathir Mohamad (tengah) – foto Pej. TDM

KUALA LUMPUR, 18 Sept 2023 – Untuk dihormati orang Melayu perlu mendalami agama Islam seperti terkandung di dalam al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata, melalui cara itu, orang Melayu akan sedar, budaya mereka yang kini semakin merosot akan kembali maju sekaligus membuatkan bangsa Melayu dipandang tinggi oleh bangsa asing.

“Cara hidup orang Islam kalau kita ikut itu budaya kita akan bertukar dan kita akan menjadi maju sama dengan orang Cina, tak ada lagi pandangan rendah pada orang Melayu, orang Cina boleh bergaul dengan orang Melayu boleh jadi orang Melayu pun mereka boleh menerima agama Islam pun kalau mereka lihat orang Melayu ini sebagai orang yang berjaya yang mereka hormati.

“Kita sebenar tidak begitu faham tentang ajaran agama Islam dalam al-Quran dan kita lakukan sesuatu yang tidak sesuai dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam dalam al- Quran sebab itu kalau nak tukar orang Melayu kita mesti kembali kepada al-Quran dan kita belajar apa cara hidup orang Melayu orang Islam iaitu ‘Ad-Din’,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Negarawan di Putrajaya, baru-baru ini.

Situasi semasa katanya menunjukkan orang Melayu tidak dipandang tinggi oleh bangsa lain disebabkan kepercayaan agama Islam tidak mementingkan kejayaan di dunia.

Sebaliknya, Mahathir berkata, Islam sudah menjelaskan umatnya harus berjaya di dunia seperti mana mereka perlu berjaya di akhirat.

“Kalau kita nak ada asimilasi caranya ialah dengan orang Melayu mencapai kejayaan di dunia ini dan ini bukan disebabkan oleh agama, agama tidak berkata bahawa kita tidak perlu berusaha di dunia ini bahkan agama Islam menyuruh kita mengejar bahagian kita di dunia.

“Jangan lupa bahagian kita di dunia tetapi ada pendapat orang Melayu bahawa bahagian di dunia ini bukan untuk orang Islam tetapi untuk orang bukan Islam dan ini diajar oleh siapa? oleh ustaz, guru, mereka ini tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan dan mereka suka kalau orang Melayu semuanya jadi macam mereka iaitu utamakan cuma di akhirat saja dan ketepikan kejayaan di dunia,” kata Mahathir.

Keadaan itu katanya menyebabkan budaya orang Melayu semakin merosot.

“Kerana orang yang mengajar itu pun macam itu juga mereka percaya kepada masa depan di akhirat dan bukan di dunia inilah sebabnya yang kita tidak boleh menukar budaya orang Melayu budaya mereka sebenarnya semakin merosot,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp