TERKINI

MB Kedah Ikrar Pastikan LIMA23 Lancar

foto agenda daily

ALOR SETAR, 31 Mac 2023 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan komitmen untuk memastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23), Mei depan sebagai kunjungan terindah sepanjang hayat.

Menurut beliau, pihaknya akan memastikan semua agensi Kerajaan Negeri Kedah memberikan komitmen 100 peratus demi kelancaran dan pelaksanaan semua acara pada LIMA’23 berlangsung dengan sempurna.

Ikrar Muhammad Sanusi, hasrat dan rancangan itu akan diberi perhatian khusus meskipun semua acara pada pameran peringkat antarabangsa itu yang melibatkan beliau sebagai Menteri Besar terpaksa dipinda untuk digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali.

“Komitmen daripada kita adalah Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh itu tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan yang mendadak.

“Selain itu infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi, Empangan Saga dan Bukit Malut di pulau peranginan itu diselenggara dengan sebaiknya,

“Ianya tidak lain adalah untuk pastikan bekalan dapat dibekalkan dengan sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook milik beliau.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga memaklumkan agensi-agensi kerajaan negeri yang lain khususnya di Langkawi telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah bagi penganjuran LIMA’23.

“Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, delegasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung, selamat datang ke Pulau Langkawi Permata Kedah,” tambah Menteri Besar Kedah itu.

Pada Rabu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa, beliau dilarang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk menghadiri LIMA’23 pada 23 hingga 27 Mei depan.

Bahkan, pada semalam (Khamis) juga, Muhammad Sanusi sekali lagi mendedahkan terdapat arahan bertulis yang melarang beliau menghadiri acara rasmi kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pegawai pejabat Menteri Besar Kedah yang melihat sendiri surat berkenaan yang dikeluarkan oleh Kabinet Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, dalam reaksi segera, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah itu menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan Persekutuan. – sumber AWANI

Facebook
Twitter
WhatsApp