TERKINI

MCMC buat laporan polis terhadap Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo

Badrul Hisham Shaharin (Chegubard),Wan Muhammad Azri Wan (Sir Azri) dan Mohamad Salim Iskandar (Cili Kasi Taruk) – foto Awani

PUTRAJAYA, 21 Apr 24 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis, semalam, terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) serta Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) kerana didakwa membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai MCMC.

MCMC dalam satu kenyataan, hari ini, berkata laporan polis itu dibuat berdasarkan kandungan dimuat naik oleh tiga individu berkenaan dalam platform media sosial TikTok, Facebook serta YouTube pada 17 April lalu.

“Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa,” dakwanya.

Pada masa sama, MCMC mendakwa, ada antara tiga individu berkenaan memfitnah suruhanjaya itu bahawa pegawai-pegawai yang terbabit dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa dan bertanya bila kerajaan akan bertukar.

“Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya dengan berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta semua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dibuat individu-individu berkenaan, dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

MCMC memaklumkan, penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain, adalah satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp