PUTRAJAYA, 12 Jun 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penjualan tanah oleh orang Melayu yang dijadikan sebagai punca pendapatan, akhirnya menyebabkan mereka miskin dan kehilangan tanah air.
Mahathir yang juga Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, menerusi sejarah orang Melayu perlu mengakui bahawa kawasan tanah air mereka semakin merosot.
“Jika kita teliti sejarah orang Melayu, kita terpaksa akui bahawa sepanjang zaman tanah air orang Melayu merosot kawasannya.
“Menjual tanah menjadi punca pendapatan orang Melayu. Tanah, jika tidak dijual akan kekal selama-lamanya. Tetapi jika dijual, duit yang didapati tidak kekal. Duit akan habis apabila dibelanja. Katanya dalam satu hantaran di lawam sosial twitter, hari ini.
Mahathir berkata apabila tanah dijual dan duit dari hasil penjualan tanah akan habis dibelanja hingga menyebabkan penjual tanah akan jadi lebih miskin.
“Pilihan yang ada pada orang yang miskin ialah dengan menjual tenaga sebagai pekerja buruh atau menjadi pengemis yang meminta-minta. Jika tidak sanggup bekerja dan dengan itu menjadi pengemis, kehidupan di dunia tentulah amat menekan.
“Tak perlulah dijelas apa nasib pengemis. Agak terlalu lewat untuk mengembalikan tanah yang dahulu dimiliki oleh orang Melayu.
Dalam kenyataan yang sama, Mahathir menceritakan kembali rentetan sejarah yang telah berlaku hingga menyebabkan tanah air orang Melayu semakin hilang.
“Demikian apabila British mengada perjanjian dengan Siam di Bangkok pada tahun 1909, empat buah negeri Melayu, iaitu Patani, Singgora, Menara dan Yala di selatan Siam, diserah kepada Siam.
“Pihak British mendakwa bahawa Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diletak di bawah naungan British.
Menurut Mahathir, perjanjian tersebut dibuat oleh British tanpa rundingan dengan raja-raja Melayu di negeri-negeri berkenaan. Tidak ada laporan berkenaan pandangan Raja-Raja Melayu terhadap perjanjian ini hingga sebahagian dari Tanah Melayu hilang.
“Di selatan pula terdapat Kepulauan Riau yang menjadi sebahagian dari negeri Johor. Apabila Belanda menyerang dan menjajah kepulauan yang sekarang dikenali sebagai Indonesia, mereka menawan juga Kepulauan Riau.
“Johor tidak membantah kerana Belanda terlalu kuat. Maka kepulauan Riau menjadi wilayah Indonesia apabila negara itu merdeka dan semua wilayah yang ditawan oleh Belanda diiktiraf sebagai sebahagian dari Indonesia.
“Maka terhilanglah Kepulauan Riau sebagai sebahagian dari Tanah Melayu.
“Pada 1819 British membeli pulau Singapura atau Temasek dari Temenggung Johor, dengan harga dolar Sepanyol sebanyak 60,000. Menjadi amalan biasa apabila kuasa Eropah menamatkan penaklukan wilayah takluk mereka selepas perang dunia kedua wilayah berkenaan dikembalikan kepada negara asalnya. Dengan perkataan lain Singapura hendaklah dikembali kepada Johor, satu daripada negeri Tanah Melayu.
“Semasa British menjajah Singapura, ramai orang bangsa Cina dan India diterima masuk sebagai pemastautin tetap. Akhirnya hampir seluruh pulau Singapura diduduki dan dimiliki oleh orang Cina.
“Pentadbiran kolonial British akui bahawa Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Seperti yang disebut di atas apabila penaklukan British tamat, wilayah yang dijajah oleh mereka, diserah balik kepada negara asal wilayah berkenaan.
Bagi Mahathir, itulah niat British dan itulah juga kehendak Malaysia, dan apabila penjajahan tamat, Singapura kembali menjadi sebahagian dari Tanah Melayu.
“Malangnya penduduk Cina Singapura menimbulkan masalah politik dalam negara Malaysia yang baru didirikan. Mereka tidak bersetuju dengan syarat-syarat kemerdekaan Malaysia, iaitu keistimewaan bagi penduduk asal Tanah Melayu, iaitu orang Melayu. Mereka tuntut hak sama rata dengan orang Melayu.
“Berhadapan dengan masalah ini, pemerintah Malaysia yang merdeka memutus untuk pisahkan Singapura dari Malaysia dan mengiktiraf Singapura sebagai negara bebas.
“Dengan itu hilanglah sebahagian lagi dari Tanah Melayu. Semua kehilangan kawasan Tanah Melayu berlaku tanpa apa-apa bantahan oleh orang Melayu atau raja-raja mereka.
“Sekarang Tanah Melayu sudah jadi amat kecil. Ia terhad kepada semenanjung ini sahaja. Negeri-negeri yang masih ada ialah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan Pahang dan Johor.
“Wilayah yang dahulu ditakluk oleh British iaitu Melaka dan Pulau Pinang kembali menjadi sebahagian dari Tanah Melayu.
“Ini sahajalah yang tinggal sebagai Tanah Melayu sekarang. Tetapi walaupun masih dikenali sebagai Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak lagi tanah Melayu yang dimiliki oleh orang Melayu.
“Sebabnya di zaman British terutamanya, ramai orang asing berhijrah ke Tanah Melayu. Orang Melayu tidak bantah walaupun pada satu masa jumlah orang asing lebih ramai dari orang Melayu. Mereka yang datang dari negara China dan India, meringankan beban orang Melayu kerana mereka bersedia membuat kerja-kerja yang berat, kotor dan merbahaya yang tidak sanggup dibuat oleh orang Melayu sendiri.
Mahathir berpendapat bahawa pendatang asing ini juga menumpukan kepada perniagaan dan perusahaan sebaliknya tumpuan orang Melayu ialah makan gaji yang menguasai jawatan tinggi dalam kerajaan.
Namun, Mahathir berkata, setelah pendatang asing diberi kerakyatan sebagai rakyat Tanah Melayu, maka kuasa politik pun diperolehi oleh mereka.
Mahathir juga menjelaskan bahawa orang asing yang tidak mendapat taraf kerakyatan sama rata dengan orang Melayu, mengekalkan kaitan mereka dengan negara asal mereka. Pada masa yang sama mereka menguasai ekonomi dan kekayaan yang dapat mempengaruhi politik negara.
“Di Tanah Melayu tidak ada sekatan terhadap siapa sahaja dalam pemilikan tanah. Setelah menjadi kaya banyaklah tanah yang dibeli oleh puak pendatang dan keturunan mereka. – malayadaily.com