TERKINI

Tun M Main Peranan SG4 – MB Terengganu

Mahathir Mohamad (kiri), Ahmad Shamsuri Mokhtar (kanan) – foto Pejabat TDM

KUALA LUMPUR, 15 Sept 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis juga bersetuju mewujudkan kerjasama dan membentuk kumpulan dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4.

“Pengalaman dimiliki Mahathir sangat luas, saya rasa tak ada rakyat Malaysia yang menafikan peranan beliau dalam membangunkan negara.

“Beliau memberi pesanan dalam urus tadbir yang cekap, yang diperlukan di peringkat negeri supaya kelulusan projek itu dapat diberikan dengan lebih efisien kerana tidak efisienlah yang menyebabkan pelabur-pelabur lari,” kata Shamsuri, dalam sidang medianya, di Terengganu, semalam.

Shamsuri berkata, Mahathir akan berperanan khusus menghubungkan SG4 bersama pelabur asing, terutamanya daripada Jepun dan Korea.

Adun Rhu Rendang itu berkata, SG4 akan memberikan keutamaan membabitkan pertanian, industri, pelancongan dan kerjasama lain.

SG4 ditubuhkan dengan harapan untuk negeri pembangkang berupaya memberi tumpuan khususnya membabitkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp