TERKINI

Melayu Sudah Tolak Umno – Mursyidul Am PAS

Hashim Jasin – foto Utusan

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2023 – Prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung minggu lalu menunjukkan orang Melayu sudah menolak mereka, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Hashim berkata, gelombang sokongan pengundi Melayu kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) semakin bertambah sejak bermulanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lalu dan semakin membesar pada PRN lepas.

PRN itu juga menunjukkan Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi atau 17.5 peratus daripada keseluruhan kerusi ditandingi parti itu.

Itu adalah bukti gelombang hijau, atau sokongan orang Melayu kepada PN masih berterusan dan menampakkan perubahan sepenuhnya sokongan orang Melayu, Islam kepada gabungan tersebut, kata Hashim.

“Dahulu orang Melayu menjadikan UMNO tempat kebergantungan namun apa yang dilakukan UMNO menyebabkan sokongan semakin hari semakin berkurangan. Tidak mustahil lagi ke depan lagi teruk,” katanya, seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia.

PRN melibatkan enam negeri pada Sabtu lalu menyaksikan PN, khususnya komponen mereka dari PAS berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan prestasi jauh lebih baik.

PN berjaya menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah, manakala di Kelantan gabungan itu menangi di 43 daripada 45 kerusi DUN dan menyapu bersih kesemua 32 DUN menjadikan negeri itu sifar pembangkang.

PN juga menunjukkan prestasi cemerlang di Selangor apabila menang di 22 kerusi daripada 56 serta berjaya menembusi Pulau Pinang dengan menang di 11 daripada keseluruhan 40 kerusi. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp