TERKINI

Mentaliti pendatang: Prof. Ahmad Murad kritik pengacara stesen TV, tempelak pengkritik Tun M

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 15 Jan 2024 – Kenyataan Tun Dr. Mahathir berkaitan kaum India dan kaum lain di negara ini tidak salah, sebaliknya kefahaman pihak yang menemuramah mantan Perdana Menteri itu jauh tersasar.

Hal ini diakui Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican.

Dalam temubualnya dengan MalayaDaily, beliau menyatakan, selepas meneliti rakaman wawancara itu, beliau dapati, kefahaman penemuduga banyak tersasar dengan soalan yang membayangi ataupun memantul balik kepada puak atau kaum di Malaysia.

“Misalnya, penemuramah itu memberi contoh kenapa Rishi Sunak sebagai orang India boleh menjadi Perdana Menteri Britain atau Kamala Devi Harris boleh menang jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS).

“Dari contoh itu, Tun M menjawab dengan sewajarnya. Maksud Tun M ialah soalan itu mencerminkan kaum yang ada di Malaysia, yang mana orang bukan Melayu ada menyatakan mereka yang berstatus warganegara Malaysia boleh menjadi perdana menteri.

“Memang boleh, tapi isunya ialah orang macam Rishi Sunak dan Kamala Devi Harris adalah yang telah bermastautin dan menjiwai budaya serta amalan di negara mereka dilahirkan,” katanya.

Kata beliau, dua pemimpin itu mereka tidak ada dalam jiwa mereka sebagai mentaliti pendatang.

“Ini isunya walaupun Tun M tidak sebut dalam jawapannya.

“Selama ini mengapa kita mengkritik kaum bukan Melayu dalam banyak hal di negara ini walaupun mereka bukan lagi pendatang, tetapi mewarisi datuk nenek mereka sebagai pendatang, masih lagi mempunyai mentaliti pendatang?

“Apa itu mentaliti pendatang? Ia ialah mereka yang ingin mengekalkan dan menghidupkan budaya dan bahasa mereka di Malaysia,” ujarnya.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad menjelaskan lagi, Rishi Sunak dan Kamala Devi Harris tidak pernah berminat untuk menghidupkan budaya dan bahasa Hindi.

“Mereka bercakap Inggeris dan tidak mempersoalkan kedudukan bahasa Inggeris di England dan AS.
Mereka juga tidak mempersoalkan institusi kenegaraan di negaranya.

“Mereka tidak pernah sinis terhadap nilai-nilai negara di mana mereka hidup, tetapi kaum di Malaysia, mereka tidak membudayakan bahasa Melayu, mereka tidak bercakap bahasa Melayu.

“Kita bukan bermaksud asimilas dan memang betul dasar Malaysia adalah integrasi, bukan asimilasi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai wawancara itu, beliau menyatakan, yang ditanya itu ialah integrasi, tetapi jawapan Tun M mungkin tidak jelas.

Masalahnya, kalau kaum ini bercakap bahasa Melayu dan tidak mempersoalkan langsung prinsip perlembagaan seperti Rishi Sunak dan Kamala Devi Harris, orang Melayu boleh terima.

“Tetapi masalahnya, mentaliti pendatang di Malaysia ini mereka inginkan, mahukan sekolah serta bahasa mereka sendiri, selain ada yang membenci bahasa kebangsaan.

“Sedangkan, Rishi Sunak tidak pernah mempersoalkan kenapa tidak diadakan sekolah yang menawarkan bahasa Hindi atau Punjabi di Britain.

“Apabila bercakap mengenai hal ini, kita hendaklah tegas. Ini soal masalah mentaliti pendatang.

Mereka yang ada di England ada di AS, orang India ataupun Cina ataupun lain-lain bermaustatin di negara itu tidak mempunyai mentaliti pendatang,” tegas beliau.

Jelas Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad, ini perkara yang dikenal pasti di kalangan orang India, Cina dan lain-lain bangsa di Malaysia.

Ini ujar beliau, jauh apa yang berlaku di Malaysia, apabila mentaliti mereka mempunyai sikap menentang secara sistematik usaha integrasi nasional sehingga menimbulkan kemarahan dan penentangan orang Melayu.

“Jadi, apabila penemuramah itu bertanya kepada Tun M mengenai hal itu, dia sebenarnya telah salah dan tersasar berhubung kefahaman India. Mereka tidak faham keadaan di Malaysia dan mungkin dia tidak faham keadaan di England dan AS juga.

“Inilah yang saya lihat dan perlu dijelaskan kepada rakyat Malaysia dan juga penduduk bukan Melayu di negara ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan, apakah salah orang Melayu menggunakan istilah mentaliti pendatang untuk menjelaskan keadaan sekarang, sebab mereka tidak menerima dan kalau boleh perlembagaan pun hendak diubahnya.

Sedangkan, Rishi Sunak dan Kamala Devi Harris tidak pernah menyuarakan Hasrat hendak mengubah perlembagaan ataupun peraturan Parlimen di negara mereka. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp