TERKINI

Merdeka Dicemari, Bangsa Melayu Diancam Pengkhianatan – Putra

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) memberi amaran keras bahawa roh kemerdekaan negara semakin dicemari apabila asas-asas utama Perlembagaan Persekutuan, termasuk Fasal 151, 152 dan 153, didakwa dipijak serta dihina secara terbuka.

Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali, dalam kenyataannya menegaskan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 lahir daripada pengorbanan besar para pejuang bangsa, namun generasi hari ini semakin alpa sehingga maruah negara terancam.

“Jika roh merdeka ini mati, maka bangsa ini hanyalah mayat berjalan di tanah sendiri. Mereka mati mempertahankan bangsa, kita pula sanggup jadi penonton bangsa sendiri dihina di tanah pusaka ini?” katanya.

PUTRA mendakwa wujud pencabulan nyata terhadap hak Melayu dan asas negara, termasuk isu bahasa kebangsaan yang dipinggirkan, penyusutan tanah rizab Melayu daripada 50% kepada hanya sekitar 12%, serta pengkhianatan sejarah apabila pejuang Melayu digelar pengganas manakala komunis diangkat sebagai wira.

Beliau turut membangkitkan isu pendidikan, termasuk kewujudan sekolah vernakular yang didakwa memecah-belahkan integrasi bangsa serta generasi muda yang lebih mengagungkan budaya asing berbanding bahasa dan sejarah negara.

“Anak muda kita lebih kenal lagu K-pop daripada lagu perjuangan, lebih bangga bahasa asing daripada bahasa Melayu sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, PUTRA mengingatkan pemerintah agar tidak mencabar asas negara, dengan menegaskan bahawa parti itu akan terus menjadi benteng terakhir dalam mempertahankan maruah bangsa.

“Kami tidak akan tunduk, kami tidak akan diam, kami tidak akan kompromi. Jika pemerintah terus buta, rakyat akan bangkit, dan sejarah akan ditulis dengan tangan mereka sendiri,” kata Ibrahim.

PUTRA turut menyeru orang Melayu agar belajar daripada sejarah bangsa lain yang kehilangan tanah air, termasuk Palestin, Champa, dan Melayu Singapura.

“Bangkitlah! Jangan biar darah pejuang jadi sia-sia. Lebih baik kita hancur sebagai pejuang daripada hidup hina sebagai hamba di tanah sendiri,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp