TERKINI

MHO Pertikai Tindakan PTG Perak Berhubung Tanah Rizab Melayu

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia MHO – foto Utusan Malaysia

IPOH, 27 Sept 2023 – Tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang mengarahkan syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan untuk menukar status tanah lain milik syarikat berkenaan kepada rizab Melayu, disifatkan sebagai tindakan yang kurang memuaskan

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata penyelesaian diambil PTG Perak terhadap isu berkenaan kurang memuaskan berikutan undang-undang sedia ada memperuntukkan bahawa Tanah Rizab Melayu (TRM) boleh dikembalikan serta pemilikan tanah terbabit juga boleh diperbetulkan semula.

Katanya, ia adalah dengan cara mengguna pakai Seksyen 380, Seksyen 417 dan Seksyen 419 Kanun Tanah Negara 1965 sebagaimana yang sudah dimaklumkan pihaknya kepada Ketua Audit Negara dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) melalui penyerahan surat bertarikh 7 April dan 15 Mei 2023 lalu.

“Justeru itu, berdasarkan rang undang-undang yang sedia ada adalah tidak mustahil bagi tanah-tanah Rizab Melayu yang sudah dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan, agar dikembalikan kepada status yang asal atau status quo yang selain pejabat tanah mempunyai kuasa mutlak bagi melakukan pembetulan berkenaan,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkaitan hal itu kepada PTG Perak, petang semalam.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar tempatan yang menyatakan PTG Perak membuat rundingan dengan syarikat Bukan Melayu seterusnya mengarahkan syarikat terbabit yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan, Manjung untuk menukar status tanah lain milik syarikat itu dengan status Rizab Melayu.

Laporan itu turut menyebut PTG Perak menubuhkan jawatankuasa khas dengan jabatan itu melaksanakan beberapa tindakan berhubung isu terbabit yang antara langkah awal yang diambil adalah dengan PTG Perak mengenakan sekatan ke atas semua tanah di Sitiawan berkenaan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar.

Kata Hishamuddin lagi, pihaknya juga bersedia merujuk perkara itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan mendakwa penyelesaian diambil oleh PTG Perak berhubung isu berkenaan tidak tepat kerana hanya dirujuk kepada EXCO kerajaan negeri tanpa membabitkan Sultan. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp