TERKINI

Adakah Banduan Lain Dapat Keistimewaan Seperti Najib? – Peguam Rafique

Rafique Rashid – foto agenda daily

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2023 – Peguam Rafique Rashid sekali lagi membangkitkan persoalan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada banduan lain akan menerima keistimewaan lawatan seperti diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua penerangan Pejuang itu berkata, pihak kerajaan juga belum menjawab persoalan itu walaupun beliau telah membangkitkan isu itu.

“Soalan atau desakan saya, adakah orang lain akan terima layanan istimewa sepertimana yang diterima oleh Najib Razak melalui Zahid Hamidi?

“Saya tidak mempersoalkan mengenai kuasa menteri, saya juga tak mempersoalkan mengenai kuasa komisioner.

“Saya memang tahu dan arif tetapi adakah apa yang dinyatakan tersebut akan diberikan juga kepada orang dan banduan yang lain?” katanya.

Rafique berkata demikian merujuk lawatan khas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertemu Najib di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Zahid mendedahkan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) beliau mengadakan pertemuan dengan Najib kira-kira satu jam tiga puluh minit dan turut mengadakan jamuan kecil.

Susulan itu, Rafique mempersoalkan kaedah digunakan Zahid untuk mendapatkan kebenaran tersebut.

“Adakah secara menulis, melalui panggilan telefon, menggunakan timbalan menteri ataupun menggunakan menteri?

“Jadi, akhirnya tak terjawablah. Setakat menteri di luar Parlimen menyatakan ‘ya kami ada kuasa'”, kata Rafique.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata Zahid diberikan kebenaran khas olehnya sebagai menteri dan ketua pengarah penjara untuk melawat Najib.

Beliau berkata kebenaran khas itu diberikan mengikut Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Jelas Saifuddin, permohonan berhubung lawatan tersebut kemudian dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad kepadanya bagi tujuan proses seterusnya.

“Persoalan seterusnya adalah sama ada pemakaian kuasa itu bakal dilanjutkan atau dipanjangkan kepada orang-orang lain?

“Itu persoalannya kerana apa yang bermain dalam pemikiran orang sekarang adalah mengenai ‘special treatment’ dan kuasa khas,” kata Rafique.

“Adakah sebab menteri yang minta, boleh berjumpa?,” soalnya lagi.

Beliau juga membangkitkan keistimewaan tersebut adalah kali kedua diberikan kerajaan kepada Zahid, dengan pertama kali ketika mengecualikan Umno daripada klausa dalam Akta Pertubuhan sekali gus membenarkan parti itu tidak mengadakan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden, pada Mac lalu.

“Bagi mereka, yalah. Mereka ada kuasa. Jadi, berbalik kepada soalan tadi, apa istimewanya Zahid?” soal Rafique lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp