TERKINI

Misi WHO hantar bantuan ke Gaza, batal

WHO – foto News The Truth

GAZA, 9 jan 2024 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa membatalkan misi membawa bekalan perubatan ke utara Gaza selepas gagal menerima jaminan keselamatan pada Ahad.

Ini adalah kali keempat WHO terpaksa membatalkan misi yang dirancang untuk membawa bekalan perubatan yang sangat diperlukan ke Hospital Al-Awda dan kedai ubat di utara Gaza sejak 26 Disember.

Pejabat WHO di wilayah Palestin berkata, kali terakhir pihak mereka memasuki utara Gaza adalah 12 hari lalu.

Jelas agensi kesihatan PBB itu, pengeboman berterusan, sekatan pergerakan dan komunikasi yang terganggu menjadikan hampir mustahil untuk menghantar bekalan perubatan secara kerap dan selamat di seluruh Gaza terutamanya di utara.

Penghantaran yang dirancang pada Ahad, kata WHO, dirangka untuk mengekalkan operasi lima hospital di bahagian utara enklaf itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau “terkejut dengan skala keperluan kesihatan dan kemusnahan di utara Gaza”.

Tegasnya, penangguhan akan membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan bagi terlalu ramai rakyat Palestin.

Dalam kes berasingan, kumpulan bantuan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa berkata, pasukan perubatan kecemasannya dan badan amal bantuan perubatan untuk Palestin telah dipaksa untuk menarik diri dan menghentikan aktivitinya di Hospital Al-Aqsa di kawasan tengah Gaza berikutan peningkatan aktiviti ketenteraan Israel di kawasan itu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp