TERKINI

MP gesa kerajaan segera umum moratorium akta zalim,

Wan Saiful Wan Jan – Foto facebook WSWJ

KUALA LUMPUR, 20 Jan 25 – Ahli Parlimen Tasik Gelugor, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan untuk mengumumkan langkah moratorium undang-undang berkaitan kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran “Media Law Reform Blueprint” oleh Centre for Law and Democracy, di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya kerajaan sudah maklum mengenai klausa mana yang mahu dipinda, itu bermaksud kerajaan sendiri sudah sedar bahawa klausa-klausa itu tidak baik.

“Saya menyeru supaya kerajaan mengumumkan moratorium terhadap klausa-klausa zalim yang ada dalam undang-undang berkaitan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang kerajaan sendiri kata mereka mahu pinda.

“Ini terutamanya bagi klausa-klausa zalim dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Hasutan.

“Secara logiknya, jika kerajaan sudah tahu klausa mana yang mereka mahu pinda, itu bermaksud kerajaan sendiri sudah sedar bahawa klausa-klausa itu tidak baik. Ujar Wan Saiful.

Tambah beliau, sekiranya klausa dan undang-undang tersebut sudah diketahui tidak baik, maka kerajaan perlu berhenti menggunakannya untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.

“Kerajaan mesti umumkan moratorium sekarang, sehinggalah semua klausa yang berkaitan dipinda atau dimansuhkan. Tegasnya.

Dalam ucapan yang sama, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menyeru supaya kerjasama lebih erat dibina antara kerajaan, masyarakat sivil, organisasi media, dan pembangkang dalam mereformasi undang-undang dan peraturan berkaitan media di Malaysia. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp